
PERNAH menjadi peserta wanita pertama yang diangkat juara program Akademi Fantasia musim kelima (AF5), Mila Jirin beberapa tahun kebelakangan ini fokus membina empayar perniagaan rupa-rupanya tidak pernah membuang adrenalin pertandingan program realiti dalam denyut nafasnya.
Buktinya, selepas kembali aktif menyanyi, Mila mahu menghangatkan momentum karier nyanyiannya menerusi Gegar Vaganza musim ke-13 (GV13) yang menghimpunkan barisan juara dan bekas peserta AF.
Mila atau nama sebenarnya Norsyarmilla Jirin bersyukur apabila impian peminat melihatnya beraksi di pentas GV akhirnya tercapai.
“Saya setuju masuk GV kerana tahun ini berbeza, sangat menarik dengan barisan peminat AF. Mungkin takkan ada lagi momen ini sebab AF dah tiada,” katanya kepada HibGlam.
Meskipun bakal berentap dengan rakan-rakan seangkatan, penyanyi berusia 38 tahun itu menegaskan bahawa misinya bukan untuk bersaing sebaliknya mahu memberikan kepuasan maksimum kepada penonton setia.
“Awal-awal lagi bila tahu tentang program GV, saya cakap bukan nak bertanding dengan mereka. Semua ada kehebatan sebab itu mereka bergelar juara AF.
“Cuma saya nak berikan yang paling baik kepada penonton GV sebab program ini ada peminat setia.
“Jadi saya mahu berikan yang terbaik terutamanya bila dapat tugasan yang mungkin bukanlah lagu-lagu yang biasa dinyanyikan,” tambahnya.
Ditanya mengenai persediaan sebelum beraksi, pelantun lagu Persis Mutiara itu mengakui mengambil inisiatif menjaga kecerdasan fizikal, termasuk menyertai kelas tinju semata-mata demi membina semula tahap staminanya.
“Antara yang paling saya fikirkan adalah stamina sebabnya kita semua makin muda (berseloroh). Kami berada di pentas ketika itu baru 19 atau 20 tahun.
“Sekarang semua dah nak masuk empat siri. Jadi stamina yang paling saya tekankan dan alhamdulillah hampir dua bulan juga saya masuk pelbagai kelas untuk menaikkan balik stamina antara tinju.
Kelas tinju
“Pada saya, sebagai penyanyi perkara itu penting sangat untuk kita kawal kadar degupan jantung,” jelasnya.
Malah, dia tidak menafikan fasa selepas bersalin mengubah tahap kecergasannya berbanding zaman kegemilangannya dahulu.
“Boleh dikatakan ya (kelas tinju selepas tawaran GV) sebab pada saya sebagai seorang penyanyi saya sendiri rasa.
“Bila menyanyi sebelum masuk kelas tinju memang cepat rasa penat. Sebagai seorang ibu yang pernah melahirkan anak, struktur badan pun dah lain.
“Alhamdulillah tinju sangat membantu selain daripada senaman kardio yang saya lakukan di rumah,” katanya lagi.
Berpengalaman besar dalam dunia pertandingan realiti, Mila memilih untuk mengambil pendekatan positif dengan menjadikan setiap teguran juri sebagai ruang memperbaiki diri.
“Mungkin sebab saya memang lahir daripada program realiti, jadi saya dah biasa selepas menyanyi kita kena dengar apa juri cakap.
“Apa mereka cakap kita kena hadam balik, buat latihan semula. Jadi saya tak ada rasa ketakutan itu.
“Cumanya sekarang ini, kita ada juri tambahan iaitu juri di luar, itu kena siapkan mental dan fizikal untuk berdepan.
“Tapi saya yakin semua orang ada pendapat yang sama. Saya cuma nak berseronok atas pentas dan apa yang juri katakan, saya akan jadi gelas yang kosong.
“Saya akan menerima, menyerap dan melakukan yang terbaik,” jelasnya lagi.
Dalam masa sama, penyanyi yang juga ushawan itu menganggap penyertaan GV13 sebagai satu aturan rezeki yang sangat indah terutama ketika dia sedang merancang untuk kembali aktif dalam dunia nyanyian.
“Susunan Allah itu masya-Allah sangatlah cantik di mana saya rancang nak keluarkan album.
“Allah hadiahkan saya platform GV. Saya tak nafikan anak-anak muda terutamanya gen Z tak kenal siapa Mila Jirin. Mereka panggil saya Kakak Bizmilla. Sekurang-kurangnya bolehlah beritahu mereka, selain usahawan saya juga seorang penyanyi,” tutupnya.
The post ‘Saya nak seronok dalam GV13 , dengar kata juri, jadi gelas kosong’ appeared first on Kosmo Online.



