
KEGEMBIRAAN jelas terpancar di wajah pelakon Nelydia Senrose apabila berkongsi berita mengenai kehamilannya yang pertama, setelah menanti selama tujuh tahun.
Perjalanan panjang yang penuh sabar ini akhirnya membuahkan hasil, membolehkan dirinya dan suami, Datuk Mohd Hafez Halimi Abdul Hamid, menantikan detik indah menimang cahaya mata sulung mereka.
“Alhamdulillah, sebenarnya semua pun tahu, ini adalah momen yang telah saya nantikan selama tujuh tahun.
"Menanti detik ini membuatkan saya lebih menghargai setiap saat,” kata Nelydia dengan nada penuh syukur.
Bagi nama sebenarnya Nik Zaris Nelydia Nik Sen, kehamilan tersebut bukan sahaja satu rezeki tetapi juga hadiah daripada ALLAH yang datang tepat pada waktunya.

Nelydia mengakui, walaupun berita itu amat menggembirakan, dia tetap memerlukan doa daripada semua pihak.
“Mudah-mudahan semuanya berjalan lancar sehingga ke akhirnya. Saya masih memerlukan doa semua,” ujarnya.
Baginya, setiap rezeki yang datang adalah tepat pada masanya, dan perjalanan menanti ini mengajar dirinya untuk terus bersabar dan bersangka baik dengan ketentuan ALLAH.
Perjalanan kehamilan Nelydia bukan tanpa cabaran.
“Alahan tiga bulan pertama memang terasa kerana saya belum pernah mengalaminya sebelum ini.
"Namun, saya menikmatinya kerana ia mengingatkan saya bahawa inilah momen kehamilan yang saya doakan selama ini,” ungkapnya penuh syukur.

Tiada selera makan
Walaupun awalnya mengalami sedikit ketidakselesaan seperti tiada selera makan, Nelydia bersyukur kerana keadaan masih terkawal dan tiada gejala mengidam yang ketara.
Dalam perkongsian yang penuh keikhlasan itu, Nelydia menekankan pentingnya bersabar bagi mereka yang masih menantikan rezeki.
“Jangan terlalu memaksa untuk percaya sesuatu itu mesti berlaku sekarang. Apa yang terbaik akan datang pada waktunya. Kita hanya perlu terus bersangka baik dan reda dengan ketentuan ALLAH,” titipnya buat pasangan yang menantikan kehadiran zuriat di sisi.

Bagi Nelydia, setiap doa yang dipanjatkan, sama ada oleh dirinya atau orang lain, adalah bukti kasih sayang Allah yang tidak terhingga.
“Setiap kali saya bertemu orang, saya berdoa. Kita tidak tahu doa siapa yang dimakbulkan. Yang penting, kita percaya semua ini datang daripada-Nya,” katanya penuh keyakinan.
Kini, Nelydia dan suami sedang menanti dengan penuh teruja detik indah mereka menjadi ibu bapa. Perjalanan tujuh tahun yang penuh sabar ini akhirnya membuahkan kegembiraan yang tidak ternilai, menandakan bahawa rezeki dan kebahagiaan hadir tepat pada masanya bagi mereka yang sabar dan bersyukur.

