
PETALING JAYA – Benarlah kata orang, berangan itu percuma. Situasi sama berlaku kepada penyanyi terkenal, Misha Omar apabila pada usia mudanya, dia juga pernah berangan untuk menjadi isteri kepada seorang penyanyi popular, Anuar Zain.
Misha atau nama sebenarnya Samihah @ Aisah Omar, 44, juga percaya bukan dia sahaja yang mempunyai angan-angan sebegitu, malah ramai lagi wanita lain sepertinya.
“Saya rasa saya antara jutaan wanita yang dulu-dulu bermimpi nak jadi bini dia (Anuar Zain). Kau jangan menipu aku dik. Kau mesti ada (berangan).
“Tetapi bila kita dah dewasa dan berpeluang untuk jumpa dan bekerja dengan dia, kita rasa selera kita bertukar.
“Saya pernah ‘try’, ada peluang kan. Bila dah ‘try’, saya rasa saya perlukan ‘daging’ yang lebih. I’m a chub chaser,” cerita Misha mengisi ruang celoteh ketika menjayakan Showcase Misha Omar Aku & Lelaki di JioSpace, malam tadi.
Pengakuan Misha ternyata menggamatkan seluruh ruang acara yang terhibur dengan telatahnya.
“Betul bila Anuar Zain menyanyi, saya rasa macam di awan biru, tetapi I need the real pilot (merujuk kepada suaminya),” sambung Misha.
Misha turut memuji dan mengagumi keperibadian Anuar Zain yang disifatkannya sebagai seorang senior yang sentiasa mengalu-alukan kehadiran bakat baharu.
“Saya rasa beliau antara penyanyi senior yang membuatkan saya percaya boleh pergi jauh di dalam industri muzik,” ujarnya.
Misha turut memberi penghormatan kepada Anuar dengan menyampaikan dua buah lagu popularnya iaitu Lelaki Ini dan Keabadian Cinta.
Selain Anuar Zain, Misha turut memberi penghormatan kepada penyanyi-penyanyi lelaki hebat yang lain antaranya Datuk M Nasir, Datuk Jamal Abdillah, Datuk Sudirman Hj Arshad, Hafiz Suip, Afghan dan Tulus.
Antara lagu yang didendang sepanjang dua jam showcase berlangsung adalah Kacamata, Teh Hijau, Sentuhan Listrikmu, Penghujung Rindu, Merisik Khabar, Bahagiamu Deritaku, Break, Semoga Abadi dan Sampai Bila. – KOSMO! ONLINE
The post ‘Saya pernah bermimpi nak jadi bini Anuar Zain’ appeared first on Kosmo Online.






