“Jujurnya, saya tidak langsung kecewa. Malah saya rasa agak lega kerana kini saya boleh kembali menjadi orang biasa, diselamatkan dari sandiwara kuasa dan politik kelas tinggi.”
Demikian luahan jujur Rafizi Ramli yang kini tidak lagi menjawat jawatan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), susulan kekalahannya kepada Nurul Izzah Anwar dalam pemilihan parti baru-baru ini.
Dalam satu hantaran panjang di Facebook, Rafizi merakamkan penghargaan yang mendalam kepada penyokong-penyokongnya yang disifatkan sebagai rakyat biasa yang telah bersama membina naratif kempen yang idealistik walaupun akhirnya berakhir dengan kekalahan yang besar.
“Saya terhutang budi yang amat besar… hanya Allah yang dapat membalas kebaikan semua,” katanya.
Rafizi menegaskan beliau tidak mahu terus terjebak dalam polemik berkaitan keputusan pemilihan, sebaliknya mengajak ahli parti untuk memulihkan semangat dan kembali fokus kepada idealisme perjuangan.
Mengimbas kembali perjuangan politiknya selama hampir 27 tahun, Rafizi menyenaraikan pelbagai pengorbanan termasuk meninggalkan kerjaya korporat, menjadi Ketua Staf kepada Anwar Ibrahim dan menghadapi 16 kes mahkamah yang sebahagiannya berkaitan pendedahan skandal besar seperti 1MDB.
“Saya menyertai PKR kerana idealisme ini… Pemimpin datang dan pergi, tetapi idealisme tetap kekal,” ujarnya.
Rafizi turut meluahkan rasa terharu terhadap ratusan mesej sokongan yang diterimanya, termasuk tindakan beberapa ahli muda yang menitiskan air mata merayu agar beliau tidak meninggalkan parti.
“Saya tidak berniat untuk berputus asa… cita-cita itulah yang telah menjerumuskan saya ke dalam aktivisme dan politik dahulu,” tambahnya lagi.
Mengakhiri kenyataannya, Rafizi menegaskan cita-cita reformasi belum berakhir dan beliau berhasrat untuk terus bersama rakyat, serta membalas mesej-mesej yang diterima sebagai tanda penghargaan.
The post ‘Saya rasa lega kerana kini boleh kembali jadi orang biasa’ – Rafizi Ramli appeared first on The Reporter.

