‘Saya register dengan Allah’ jawapan penjaja tanpa lesen ‘kejutkan’ anggota MBSA

LocalPolitics
8 Aug 2025 • 12:18 PM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

image is not available

KUALA LUMPUR — ‘Saya register dengan Allah’ itu jawapan yang tidak disangka-sangka, diterima oleh pasukan penguatkuasa Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) ketika menjalankan operasi merobohkan gerai penjaja tanpa permit di Taman Subang Perdana, Shah Alam, baru-baru ini.

Operasi di kawasan dikenali sebagai ‘gerai bawah pokok’ di Taman Subang Perdana, Seksyen U3, Shah Alam itu dijalankan oleh Jabatan Penguatkuasaan, MBSA diketuai oleh pengarahnya, Sahrul Nizam Ahmad pada 27 Mei lalu.

Ia mendapat perhatian apabila klip rakaman video operasi tersebut dimuatnaik dalam Instagram MBSA dan kini mula tular.

‘Saya tanya ada register ke, tak de kan,’’ tanya Sahrul.

‘Saya register dengan Allah Taala,’’ kata peniaga berkenaan. Jawapan itu menyebabkan pegawai yang bertugas ‘tersenyum’ dan menggeleng kepala.

Dalam pada itu, Sahrul berkata operasi tersebut diadakan susulan aduan daripada penduduk setempat berhubung aktiviti pembinaan gerai tanpa kebenaran atau lesen dan permit yang sah daripada MBSA.

“Kawasan ini telah kotor dan semasa operasi terdapat haiwan perosak serta tikus yang keluar longkang.

“Kita telah mengeluarkan notis kepada peniaga-peniaga ini pada 2022 dan terbaru pada ogos 2024 untuk bersihkan kawasan tersebut.

“Kita telah mengadakan mesyuarat dengan wakil peniaga dan bagi peluang serahkan senarai (kawasan perniagaan) untuk mereka buat permohonan,’’ katanya.

Sementara itu, menerusi ruangan komen rata-rata netizen memuji langkah membersihkan kawasan berkenaan yang sebelum ini disifatkan mereka sebagai kotor dan tidak teratur.

“Betul. Nak berniaga ikut saluran betul. Ambil kursus KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia), cucuk typhoid, buat permit.

“Orang lain bisnes buka kedai bayar sewa, korang ni dah diberi notis sejak 2022, tetapi masih berani (berniaga tanpa lesen). Bagus MBSA, tiada lagi kawasan itu kotor dengan tikus,’’ kata netizen.

Ada juga yang menyifatkan jawapan penjaja itu sebagai cuba melepaskan diri daripada perbuatan salah yang dilakukannya, iaitu berniaga tanpa permit sah.

Operasi itu dijalankan dengan penglibatan 150 anggota yang terdiri daripada pasukan MBSA, polis, Jabatan Imigresen Negeri Selangor, Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Air Selangor.

Sahrul berkata, Jabatan Penguatkuasa MBSA mengambil tindakan berdasarkan undang-undang dan peniaga juga diminta mematuhi peraturan dengan berniaga di kawasan yang dibenarkan. - 8 Ogos, 2025

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved