
DI sebalik sorotan populariti dan kisah yang sering menjadi perhatian, ada ruang emosi yang tidak semua orang nampak.
Bagi Aliff Aziz, waktu yang berlalu tanpa bertemu anak-anak bukan sekadar tempoh biasa, tetapi satu fasa yang sarat dengan rasa rindu dan muhasabah diri.
Walaupun namanya kerap menjadi topik perbualan, Aliff lebih selesa memilih jalan tenang, tidak semua perkara perlu dijelaskan, lebih-lebih lagi apabila ia menyentuh soal hati dan keluarga.
Memetik OhBulan!, penyanyi dan pelakon itu mengakui merindui dua cahaya matanya, Ayden Adrian dan Ara Adreanna selepas dua tahun tidak bertemu.
Namun, apabila diajukan mengenai soal hak penjagaan, Aliff memilih untuk mengunci rapat cerita tersebut daripada pengetahuan umum.
“Ada beberapa benda yang saya rasa boleh jawab dan kongsi. Ada perkara yang saya rasa tak sesuai untuk dikongsikan atau bukan masa dan tempat yang sesuai," ungkapnya.
Bagi anak seni Kota Singa itu, keterbukaan ada batasnya. Lebih-lebih lagi dalam dunia hari ini yang pantas menilai tanpa mengetahui keseluruhan cerita.
“Saya memilih untuk tidak menjawab supaya kita tak nak bila salah cakap nanti jadi perkara lain pula.
"Apa saja yang melibatkan hal peribadi, saya mahu ‘reserve’, hak saya untuk tidak ulas lanjut," tegas Aliff.
Dalam nada yang cukup berhati-hati, pelantun lagu Sayang Sayang itu mengakui dia tidak mahu kenyataannya disalah tafsir sehingga mengundang spekulasi tidak sihat.
“Saya tak nak cakap benda yang boleh jadi bahan cerita yang tak baik. Semestinya saya merindukan anak-anak, tapi sekadar itu sajalah," ujarnya lagi.
Ketika ditemui pada majlis rumah terbuka iQIYI di Andaman Grand Ballroom, fokusnya tetap tidak lari daripada anak-anak.
Malah, apabila ditanya mengenai pesanan yang ingin disampaikan, dia memilih untuk menyimpannya sehingga tiba waktu yang lebih sesuai.

“Dah lama juga (tak berjumpa). Tapi macam saya kata, apa pun berkenaan Ayden dan Ara ni, saya enggan ulas lanjut.
"Itu saya simpan apabila insya-ALLAH saya dapat jumpa dan bercakap sendiri depan Ayden dan Ara.”
“Biarkan ia menjadi pesanan seorang bapa kepada mereka. Saya faham semua orang ada hak untuk bertanya, tapi saya minta kefahaman daripada semua," jelas Aliff lagi.
Pendekatan itu jelas mencerminkan sisi matang seorang lelaki yang kini lebih memilih untuk menjaga batas, daripada terus membuka ruang kepada salah faham.
Dalam masa sama, Aliff tidak pernah terlepas mengikuti perkembangan anak-anaknya. Walaupun dari jauh, doa tetap menjadi penghubung yang tidak pernah putus.
“Alhamdulillah. Saya rasa mereka berada di satu persekitaran yang insya-ALLAH baik untuk mereka membesar.”
“Saya tak pernah lupa doakan mereka. To see them happy, as a father I am happy. Ara dan Ayden pun dah besar, dah pandai menari, Masya-ALLAH,"kongsinya lagi.
Sebagai seorang bapa, dia juga sedar tanggungjawab itu tidak pernah terhenti. Apa yang penting adalah usaha untuk terus memperbaiki diri.
“Sebagai bapa, saya akan cuba perbaiki dan uruskan tanggungjawab sebaik mungkin insya-ALLAH. Kita bergerak ke depanlah," ungkapnya.
Dalam perkembangan lain, Aliff turut mengulas mengenai pertunangan bekas isterinya, Bella Astillah bersama Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Tanpa sebarang rasa negatif, dia memilih untuk mendoakan kebahagiaan mereka.
“Untuk itu Alhamdulillah. Saya sangat gembira melihat mereka bahagia dan saya doakan semoga mereka terus kekal bahagia hingga ke anak cucu insya-ALLAH.”
“Selebihnya, saya minta semua doakan yang baik-baik untuk semua orang dan doakan juga yang baik-baik untuk saya.
"Saya hanya manusia biasa, bukan malaikat, bukan nabi. Kalau ada salah kongsi saya minta maaf," ujar
Aliff.
Pelakon berusia 35 tahun itu mengakui ada melihat momen bahagia pasangan itu menerusi kiriman video daripada kenalan terdekat.

“Adalah orang hantar-hantar. Jujurnya saya doakan yang terbaik. Saya rasa gembira untuk mereka dan apabila lihat anak-anak saya juga gembira.
"Anak-anak sentiasa dalam doa. Saya doakan juga untuk mereka semoga kekal ke pelamin," ujarnya lagi.
Mengulas mengenai pandangan warganet terhadap keakraban anak-anaknya bersama Ahli Parlimen Muar itu, Aliff memilih pendekatan yang lebih rasional, tidak terlalu melayan setiap komen yang dilemparkan.
“Macam saya kata, setiap yang dikatakan adalah pendapat. Setiap orang berhak memberikan pendapat mereka.”
“Saya tak boleh kawal pendapat orang, yang boleh dikawal hanyalah reaksi terhadap pendapat orang dan memilih untuk tidak fikir banyak tentang itu.”
“Pada akhirnya tak bergeraklah. Minta sangat di bulan baik ini untuk sebarkan kebaikan namun saya tak dapat kawal dan hentikan apa yang orang cakap, kongsi pemilik nama sebenar, Mohammad Aliff Aziz.
Mengimbas kembali, Aliff dan Bella pernah mendirikan rumah tangga pada 9 September 2016 sebelum berpisah pada 13 Jun 2024.
Mereka juga pernah melalui episod perceraian pada 2019 sebelum kembali rujuk dalam tempoh idah. Hasil perkongsian hidup, pasangan ini dikurniakan dua cahaya mata.


