JOHOR BAHRU – Bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein sedia untuk kembali berjuang bersama UMNO jika penggantungan keahliannya ditarik balik oleh parti itu.
Ahli Parlimen Sembrong itu terharu dan berterima kasih kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang membuka pintu seluas-luasnya kepada mana-mana bekas ahli yang pernah dipecat, digantung keahliannnya untuk bersama-sama kembali menyertai UMNO.
Bagaimanapun, Hishamuddin yang digantung keahliaannya selama enam tahun bermula Januari 2023 itu berkata, untuk menyertai UMNO bukanlah keputusan sukar baginya.
“Dalam tiga tahun saya digantung, saya tidak pernah keluar parti pun.
“Jadi hari ini apabila pimpinan telah membuat pendirian, saya rasa penting beritahu kepada warga Sembrong dan pimpinan UMNO Sembrong terlebih dahulu bahawa tak timbul masalah langsung bagi saya untuk terima apa yang dinyatakan presiden parti.
“Yang penting saya tidak pernah lari (dari UMNO),” katanya dalam muat naik video di Facebooknya.
Bagaimanapun menurut Hishammuddin, isunya kini ialah status beliau sebagai ahli yang digantung oleh Majlis Tertinggi UMNO.
“Kalau betul mereka ikhlas dan tarik balik penggantungan, saya akan kembali berjuang dalam UMNO, rapatkan barisan kita dalam UMNO Sembrong, UMNO Johor untuk perkasa dan perkukuhkan parti keramat UMNO,” tambahnya.
