
KUALA LUMPUR - Ketua UMNO Bahagian Beruas, Datuk Azhar Ahmad menafikan dakwaan beliau menampar seorang pelajar yang juga cucu kepada mantan Menteri Besar Kelantan, Allahyarham Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam satu program di Institut Latihan Memperkasa Ummah (ILMU), Janda Baik, Pahang, 20 Mei lalu.
Azhar berkata, dakwaan yang tular menerusi rakaman video di media sosial itu sama sekali tidak benar atau menggambarkan situasi sebenar yang berlaku.
Jelasnya, kejadian tersebut berlaku selepas beliau selesai memberikan kuliah dan sedang berjalan ke dewan makan sebelum diperkenalkan kepada Presiden Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kelantan.
"Pada ketika itu, saya dimaklumkan bahawa beliau adalah anak saudara kepada rakan saya. Dalam suasana yang mesra, saya bersalaman dengannya dan menyentuh pipinya sebagai tanda kemesraan, memandangkan saya mengenali rapat keluarganya.
"Tiada tamparan, serangan fizikal atau perbuatan kasar seperti yang didakwa," katanya.
Azhar berkata, insiden berkenaan berlaku secara terbuka di hadapan beberapa pihak, termasuk pegawai Hal Ehwal Pelajar (HEP) UiTM, urusetia program, dan para peserta yang berada di lokasi pada waktu tersebut.
Beliau turut menzahirkan rasa kesal atas penyebaran rakaman video tersebut, yang menurutnya, tidak menunjukkan konteks keseluruhan kejadian, sekali gus mencetuskan persepsi negatif terhadap dirinya.
"Saya menyeru semua pihak agar meneliti fakta dan tidak menyebarkan dakwaan yang tidak berasas.
"Saya juga berhak mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang menerbitkan atau menyebarkan kenyataan palsu yang merosakkan reputasi saya," ujarnya.
Sebuah video yang tular di media sosial sejak semalam memaparkan pelajar berkenaan, yang dikenali sebagai Nik Alif Aiman, mendakwa lditampar oleh Azhar, sehingga mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan netizen. – Getaran, 2 Jun 2026






