'Saya sudah bantah dan tidak bersetuju secara bertulis' - Rafizi jawab isu FWCMS, TURAP

LocalPolitics
22 Apr 2026 • 5:28 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: 'Saya sudah bantah dan tidak bersetuju secara bertulis' - Rafizi jawab isu FWCMS, TURAP
Rafizi

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli menegaskan Kementerian Ekonomi yang sebelum ini digalasnya tidak bersetuju dengan cadangan penyambungan kontrak Foreign Workers Centralised Management System (FWCMS) oleh Bestinet Sdn Bhd, sekali gus menolak dakwaan beliau tidak konsisten dalam isu berkenaan.

Rafizi berkata, pandangannya bersama sembilan Ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengenai cadangan satu sistem baru pengurusan pekerja asing telah mengundang kenyataan balas dari Setiausaha Politik Menteri Sumber Manusia.

Menurutnya, beliau sememangnya menunggu 'orang dari PKR atau Kementerian Sumber Manusia' melontarkan serangan peribadi seperti itu.

"Walaupun serangan seperti ini tidak menjawab perkara-perkara bersabit ketelusan dan integriti yang kami timbulkan, ia membuka peluang kepada saya menerangkan apa yang berlaku di belakang tabir dalam isu-isu nasional seperti FWCMS dan Bestinet ini.

"Beliau cuba mewujudkan persepsi kononnya saya hanya mengkritik setelah tidak lagi menjadi menteri. Kononnya saya bersetuju dan tidak membantah mengenai FWCMS dan Bestinet semasa di dalam Jemaah Menteri itu.

"Sebenarnya, saya telah membantah dan tidak bersetuju secara bertulis. Bantahan ini ada di dalam rekod minit Jemaah Menteri dan rekod ulasan rasmi yang dikemukakan oleh Kementerian Ekonomi semasa saya menjadi Menteri Ekonomi," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Setiausaha Politik kepada Menteri Sumber Manusia, Aizuddin Abd Gaffar sebelum ini dilaporkan berkata, kenyataan berhubung FWCMS dan cadangan sistem TURAP perlu berasaskan fakta dan bukan naratif politik.

Aizuddin menegaskan bahawa proses semak dan imbang dalam sistem demokrasi perlu berlandaskan integriti serta ketepatan fakta, bukan dipengaruhi kepentingan politik.

Menurut Rafizi, Kementerian Dalam Negeri (KDN) sebelum ini mencadangkan menyambung kontrak FWCMS dengan Bestinet tiga tahun sahaja atau sehingga Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (National Integrated Immigration System atau NIIse) beroperasi.

Ujarnya, Kementerian Ekonomi ketika itu turut berhak memberi pandangan kepada Jemaah Menteri dan telah menyatakan tidak bersetuju serta memohon cadangan itu diteliti semula oleh KDN.

"Pendirian saya dan Kementerian Ekonomi pada ketika itu antaranya Kementerian Sumber Manusia telah membelanjakan RM20 juta dari peruntukan pembangunan yang disediakan Kementerian Ekonomi untuk membangunkan sistem Pengurusan Pekerja Asing Bersepadu (ePPAx) yang dimiliki kerajaan.

"Selain itu, sistem ePPAx telah pun siap dan dibangunkan bagi tujuan pengurusan pekerja asing serta Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) dan Jemaah Menteri telah meluluskan pelaksanaan Multi Tier Levy Management (MTLM) untuk mengurangkan pengambilan pekerja asing secara berperingkat," katanya.

Beliau berkata, pandangannya mengenai sambungan kontrak dan isu tata kelola direkodkan secara terbuka di dalam mesyuarat dan koresponden kerajaan, yang ada kalanya dilihat bertentangan dengan kehendak pihak tertentu termasuk Perdana Menteri.

Ujarnya, episod FWCMS dan Bestinet itu hanyalah satu dari perkara-perkara yang disuarakan secara dalaman.

"Ia menjawab tuduhan kononnya saya senyap didalam kerajaan, sedangkan saya hanya boleh bersuara melalui dokumen rasmi yang dirahsiakan semasa menjadi kerajaan.

"Amanah itu kini disambung di luar kerajaan. Bezanya, saya tidak lagi terikat dengan dokumen rasmi dan etika tanggungjawab bersama yang mengikat seorang menteri," katanya.