'Saya sudah lama sedia untuk jadi PM' - Muhyiddin

Politics
16 Nov 2022 • 12:45 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Muhyiddin

image is not available
Muhyiddin ketika ditemu bual dalam program Sinar Live 'Cukup-cukuplah fitnah PN' pada Rabu.

MUAR - Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau sudah lama bersedia untuk kembali menjadi Perdana Menteri kali kedua sekiranya gabungan itu menang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Muhyiddin berkata, antara sebab beliau layak menjadi Perdana Menteri sekali lagi adalah berdasarkan 'track record' mengemudi negara selama 17 bulan dan jawatan-jawatan yang pernah dipegang dalam negara sebelum ini.

"Saya sudah sedia lama (untuk menjadi Perdana Menteri kali kedua). Saya sudah mulakan kerja sewaktu terpilih menjadi Perdana Menteri dalam tempoh 17 bulan.

"Latar belakang, rekod pencapaian di kementerian yang diterajui dan jawatan-jawatan penting baik di kementerian, timbalan menteri dan sebagai menteri besar, saya bukan nak dabik dada angkat bakul sendiri, tetapi itu rekod prestasi saya," katanya ketika ditemu bual dalam program Sinar Live 'Cukup-cukuplah fitnah PN' pada Rabu.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, sekiranya diberi peluang menjadi Perdana Menteri sekali lagi, beliau masih mampu berfikir dan bertindak cepat.

Katanya, ia bukti khusus yang boleh jadi sandaran keupayaan PN untuk terajui negara.

"Jadi profil saya, orang kata 'resume' di hadapan saya itu saya fikir lebih daripada layak kalau diberi peluang," katanya.

Pada 10 Oktober lalu, PN dilaporkan mengesahkan Muhyiddin Yassin sebagai calon Perdana Menteri ke-10 jika gabungan itu memenangi PRU15.

Timbalan Pengerusi PN, Datuk Dr Dominic Lau yang juga Presiden Gerakan dilaporkan berkata, tiga parti komponen termasuk Bersatu dan Pas sepakat terhadap ketetapan memilih Pengerusi PN itu sebagai Perdana Menteri.