'Saya Sudah Lama Tak Seronok Macam Hari Ini' - PM

28 Aug 2022 • 1:49 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Ismail Sabri Yaakob hadir pada Perhimpunan Perdana Sempena Sambutan 60 Tahun Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) hari ini. - Gambar Bernama

SERDANG - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengakui sudah lama tidak berasa seronok seperti hari ini apabila bertemu dengan warga Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS). 

“Macam-macam masalah yang timbul, tapi hari ini hilang semua masalah,” katanya ketika berucap. 

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Perhimpunan Perdana Sempena Sambutan 60 Tahun Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di sini hari ini. 

Program tersebut dihadiri kira-kira 7,000 warga KEMAS dari seluruh negara. 

Perdana Menteri berkata, beliau sebenarnya sudah lama merindui untuk bersama warga KEMAS, yang disifatkannya sebagai barisan hadapan dalam menyokong dasar dibuat kerajaan.

Mengimbau kembali kenangan ketika menyandang portfolio Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera berkata, beliau seronok melihat gelagat kanak-kanak KEMAS. 

“Waktu saya di Kementerian Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) atau di mana-mana, setiap program saya akan disambut kanak-kanak. Walaupun pagi ‘mood’ tak baik, bila ada kanak-kanak selesai masalah dan program (menjadi) meriah. 

“Cuma dari segi sejarahnya satu ketika, KEMAS hilang dari pandangan mata masyarakat. Kita tahu kenapa, ada orang diberi amaran pilih antara dua, nak ‘berkemas’ keluar atau nak tinggal dalam KEMAS. Kalau nak dalam KEMAS, kena keluar daripada menjadi ahli politik tertentu,” katanya.

Beliau bagaimanapun memberi jaminan, senario tersebut tidak akan berulang lagi.

“Itu dahulu, tapi sekarang saya nak KEMAS jangan lagi risau kerana saya difahamkan, (mereka) telah diberi ruang untuk berpolitik semula,” katanya. - Getaran, 28 Ogos 2022