“Saya Tak Abaikan Mereka” – Bekas Suami Wanita Malaysia Terkandas 18 Tahun Di Lombok Tampil Bersuara

23 Feb 2026 • 7:42 AM MYT
The Malaysian Update
The Malaysian Update

Portal berita pilihan anda untuk isu semasa, politik, hiburan, & banyak lagi

image is not available

KUALA LUMPUR – Isu melibatkan seorang wanita rakyat Malaysia yang terkandas hampir 18 tahun di Lombok, Indonesia terus menjadi perhatian ramai. Terbaharu, bekas suaminya yang dikenali sebagai Badi tampil menafikan dakwaan bahawa dia mengabaikan bekas isteri serta anak-anaknya selepas perpisahan mereka.

Menerusi temu bual bersama media Indonesia yang dikongsikan di TikTok Tribun Lombok, Badi menjelaskan bahawa sepanjang tempoh perkahwinan bersama Norida Akmal Ayob, 45, dia tidak pernah mengabaikan tanggungjawab sebagai suami dan ketua keluarga.

Menurutnya, mereka berpisah secara baik kira-kira setahun lapan bulan lalu, namun dia tetap memberi nafkah selagi bekas isterinya berada di Lombok.

“Selama saya bernikah dengan Norida dan 18 tahun dia di Indonesia, tidak pernah saya abaikan. Saya bercerai setahun lapan bulan dan saya masih bertanggungjawab selagi dia di sini.

Dia dinafkahi selama dia masih di sini,” katanya.

Badi turut menjelaskan bahawa Norida mengikutnya ke Indonesia secara sah, malah dia sendiri menguruskan dokumen pengenalan diri Indonesia (KTP) buat bekas isterinya sebelum pasport wanita itu tamat tempoh.

Dakwa Bekas Isteri Suri Rumah Sepenuh Masa

Menurut Badi, sepanjang perkahwinan mereka, Norida tidak bekerja dan hanya menumpukan kepada urusan rumah tangga serta menjaga anak.

“Dia suri rumah sepenuh masa. Saya tidak beri dia bekerja kerana dia menjaga anak kami yang masih kecil.

Selepas kami bercerai pun, saya beri dia wang untuk urus kepulangan ke Malaysia dan tetap beri makan sepanjang dia di Lombok,” katanya.

Beliau juga memaklumkan bahawa Norida tinggal di rumah keluarganya sepanjang berada di sana.

Sedih Cerita Tular Di Media Sosial

Badi mengakui berasa sedih dengan cerita yang tersebar di media sosial yang menurutnya belum tentu sahih sepenuhnya.

Katanya, mereka masih berhubung walaupun sudah berpisah dan hubungan mereka kekal harmoni.

“Saya sedih dengan berita yang belum tahu cerita sebenar daripada mantan suami. Dua tahun kami hidup di Malaysia selepas bernikah. Pada 2012 kami ke Sumatera Selatan, kemudian saya pulang ke Lombok hingga 2023 dan kami berpisah.

Hubungan tetap harmoni. Jadi saya sedih dengan cerita seperti ini, tidak benar,” katanya lagi.

Dibawa Pulang Ke Malaysia

Terdahulu, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Shamsul Anuar Nasarah memaklumkan bahawa Norida akhirnya berjaya dibawa pulang ke Malaysia pada Sabtu lalu selepas sekian lama terkandas di Lombok.

Menurut beliau, Norida sebelum ini mengikuti suaminya yang juga warga Indonesia ke Lombok bersama anak perempuan mereka, namun perkahwinan tersebut tidak berkekalan.

Norida dilaporkan hidup dalam keadaan susah dan serba kekurangan selepas berpisah, malah terpaksa mencari rezeki sebagai tukang sapu untuk menyara kehidupan bersama anak-anak.

Usaha membawa pulang Norida dan dua anaknya berjaya dilaksanakan hasil kerjasama Wisma Putra melalui Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta, Jabatan Imigresen Malaysia serta pihak berkuasa Indonesia.

Difahamkan, Norida mempunyai dua orang anak, seorang daripadanya berstatus warganegara Malaysia kerana dilahirkan di Malaysia, manakala seorang lagi merupakan warganegara Indonesia kerana dilahirkan di negara itu.

Menurut Shamsul Anuar, beliau mengetahui keadaan Norida selepas keluarga wanita itu dari Kampung Bukit Sapi, Lenggong tampil memaklumkan situasi yang dialami.

Anak-anak Norida juga dilaporkan tidak dapat meneruskan persekolahan sepanjang berada di Indonesia.

Kini, Norida dan anak-anaknya selamat kembali ke tanah air. – The Malaysian Update

The post “Saya Tak Abaikan Mereka” – Bekas Suami Wanita Malaysia Terkandas 18 Tahun Di Lombok Tampil Bersuara appeared first on The Malaysian Update.