'Saya tak hadir sebab ada upacara agama' - Saravanan

LocalPolitics
6 Mar 2026 • 1:44 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Saravanan

TAPAH – Ahli Parlimen Tapah, Datuk Seri M Saravanan menjelaskan, ketidakhadirannya ketika pengundian rang undang-undang (RUU) bagi mengehadkan tempoh perkhidmatan Perdana Menteri kepada maksimum 10 tahun di Parlimen baru-baru ini disebabkan komitmen menghadiri acara keagamaan di Pulau Pangkor.

Menurutnya, kehadiran ke program tersebut menyebabkan beliau terlepas pandang mengenai sesi pengundian RUU berkenaan di Parlimen.

"Saya ketika itu berada di Pulau Pangkor untuk bersembahyang kerana ada acara tahunan di rumah ibadat saya.

"Kebetulan saya terlepas pandang mengenai pengundian itu," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Penyampaian Sumbangan kepada Masjid, Surau Diri Jumaat dan Surau Kawasan Parlimen Tapah di Dewan Merdeka, di sini pada Jumaat.

Saravanan yang juga Timbalan Presiden MIC berkata, sebelum ini ahli Parlimen daripada Barisan Nasional (BN) biasanya akan diingatkan lebih awal mengenai sebarang pengundian penting di Dewan Rakyat.

"Kalau dahulu di bawah BBC (Backbenchers Club) BN, mereka akan ingatkan kami satu atau dua hari sebelum pengundian atau sekurang-kurangnya pada pagi hari pengundian.

"Kali ini mungkin ada pengurus baharu dan perkara itu juga terlepas pandang,” ujarnya.

Pada Isnin lepas, RUU Perlembagaan (Pindaan) 2026 bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun tidak memperoleh sokongan dua pertiga Ahli Dewan Rakyat.

Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul berkata, keputusan undi belah bahagian menyaksikan 146 Ahli Parlimen bersetuju, 32 tidak hadir dan 44 lagi tidak mengundi.

Pindaan perlembagaan berkenaan memerlukan sokongan sekurang-kurangnya dua pertiga, iaitu 148 ahli Parlimen untuk diluluskan.

Jurucakap Kerajaan Madani, Datuk Fahmi Fadzil yang juga Menteri Komunikasi berkata, RUU tersebut akan dibentang semula pada sesi Dewan Rakyat seterusnya Jun ini.

Perkara itu dipersetujui Mesyuarat Jemaah Menteri yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.