‘Saya Tak Kisah Hilang Pendapatan Puluh Ribu Asal Keluarga Selamat’ - Faisal Halim

Football
13 Jun 2024 • 4:48 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Faisal Halim (tengah) pada sidang media khas - Gambar Afif Abd Halim

KUALA LUMPUR - Pemain Bola Sepak Selangor FC yang menjadi mangsa serangan asid bulan lepas, Faisal Halim tidak kisah kehilangan pendapatan puluhan ribu ringgit asalkan ahli keluarganya berada dalam keadaan selamat.

Beliau yang tampil buat pertama kali selepas insiden tersebut berkata, hasratnya kini hanya mahu pulang ke kampung dan menjalani kehidupan yang tenang.

“Saya beritahu isteri saya, keluarga saya termasuk abang saya, saya tidak kisah hilang gaji RM50,000 dan nak balik kampung. Saya hanya mahu hidup tenang, saya boleh ambil gaji RM50 sehari janji keluarga saya selamat. Saya tak nak hidup dalam ketakutan.

“Apa yang berlaku ini di luar jangkaan. Saya tak boleh terima keluarga saya dalam ketakutan,” katanya pada sidang media bersama pengurusan Selangor FC di Shah Alam hari ini.

image is not available
Kesan kecederaan dan proses pemulihan dilalui Faisal Halim - Gambar Afif Abd Halim

Jelas tonggak utama skuad bola sepak Selangor itu, keutamaannya ketika ini adalah keselamatan keluarga terutama anaknya memandangkan hubungan mereka berdua amat rapat.

“Bukan perkara mudah kasih sayang seorang ayah, bila balik saya masuk tak dapat peluk sayang anak saya. Sehinggalah baru-baru ini dalam empat lima hari ke belakang ini dapat peluk anak saya lagi.

“Saya belum dapat tidur dengan dia lagi. Anak saya semangat, kekuatan saya. Apa jadi saya terima dengan reda dan hati yang terbuka. Saya harap saya dapat kembali memberikan hadiah untuk anak saya,” katanya, sebak.

Faisal atau mesra dipanggil Mickey mengakui, beliau tidak tahu sama ada mampu untuk kembali bermain bola sepak akibat kecederaan dialami.

“Saya harap semua pihak dapat mendoakan agar saya kembali pulih seperti sebelum ini dan kembali bermain seperti dahulu,” katanya.

Dalam serangan pada 5 Mei lalu, Faisal melecur tahap empat.

Keadaannya begitu kritikal dan terpaksa menjalani empat pembedahan di sebuah pusat perubatan swasta di Shah Alam bagi merawat luka. 

Beliau kini masih menjalani fisioterapi di sebuah lokasi yang terpaksa dirahsiakan atas faktor keselamatan. - Getaran, 13 Jun 2024