
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Semalam (17 Jun), media melaporkan seorang pemuda maut selepas dipercayai tersedut dalam tangki air sewaktu melakukan kerja penyelenggaraan di Kolam Menara Saujana Perdana, Jalan Saujana Perdana 18, Bandar Saujana Perdana, Sungai Buloh.
Dalam kejadian yang berlaku pada jam 11.51 pagi Selasa (16 Jun) lalu, mangsa, Muhammad Adam Danish Mohd Anuar, 24, ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di atas tangki kolam berkenaan sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Bapa Sifatkan Pemergian Anak Sebagai Kehilangan Besar Buat Keluarga
Terbaharu, bapa kepada Muhammad Adam Danish menyifatkan pemergian anak sulung dari empat beradik itu sebagai kehilangan besar buat keluarga.
Memetik Malaysia Gazette, sewaktu kejadian berlaku, Muhammad Adam Danish yang merupakan pelajar tahun akhir dari Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar, Universiti Putra Malaysia (UPM) sedang menjalani latihan industri.
Jelas bapa mangsa, Mohd Anuar, dia rasa terharu apabila urusan anaknya bermula dari proses bedah siasat sehingga pengebumian berjalan dengan lancar.
Kongsi Mohd Anuar, bedah siasat jenazah Muhammad Adam Danish selesai dilaksanakan kira-kira jam 7 malam pada Selasa (16 Jun) di Hospital Al-Sultan Abdullah Universiti Teknologi MARA (UiTM) Puncak Alam.
“Alhamdulillah, semua urusan dipermudahkan. Selepas selesai bedah siasat, jenazah dimandi, dikafan dan disolatkan oleh pihak hospital.
“Kemudian jenazah dibawa ke Masjid Kariah Kundur Tengah, Pedas, Negeri Sembilan untuk solat jenazah sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kundur Tengah kira-kira jam 12.30 tengah malam.
“Kami sempat membuka ruang kepada ahli keluarga dan kenalan kira-kira 10 minit untuk memberikan penghormatan terakhir sebelum jenazah disemadikan,” katanya.
Tak Sangka Ramai Datang Beri Penghormatan Kepada Anak
Terang Mohd Anuar, dia sendiri tidak menyangka ramai jemaah datang memberikan penghormatan terakhir buat anaknya itu termasuk rakan, kenalan serta penduduk kampung yang turut hadir menunaikan solat jenazah.
“Kehadiran orang ramai termasuk rakan-rakan yang sudah lama tidak ditemui menunjukkan Allahyarham seorang insan yang disenangi ramai.
“Saya sendiri terharu apabila melihat begitu ramai yang hadir. Ada rakan-rakan yang sudah lima hingga 10 tahun tidak berjumpa pun datang memberikan penghormatan terakhir.
“Saya percaya Allah memberi peluang kepada arwah untuk mendapat penghormatan sebegitu. Bukan semua orang memperoleh kesempatan seperti itu,” katanya sebak.
Bapa Sukar Terima Kehilangan Anak, Tabah Demi Ahli Keluarga
Jelas Mohd Anuar lagi, dia mengakui sukar untuk menerima kehilangan anaknya itu namun terus tabah demi ahli keluarga yang lain.
“Sebenarnya saya tidak kuat untuk menghadapi perkara ini. Tetapi demi adik-adiknya, saya perlu kuat.
“Kehilangan anak adalah ujian yang amat berat,” ujarnya.
Baca Artikel Berkaitan: Syarikat Ternama & Berjaya ‘Lenjan’ Budak Intern Secara Percuma Demi Jimat Kos Operasi – Syed Saddiq
Baca Artikel Berkaitan: Baling Botol & Sorok Motosikal, Asyraf Wajdi Arah GiatMARA Siasat Dakwaan Pelatih OKU Dibuli [Video]


