
WASHINGTON DC — Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, secara terbuka memuji kepimpinan Presiden Indonesia, Prabowo Subianto, dalam ucapannya pada mesyuarat sulung Lembaga Keamanan di Washington DC, Khamis.
Menurut laporan Kumparan, Trump menyifatkan Prabowo sebagai seorang pemimpin yang tegas sehingga beliau sendiri berseloroh tidak mahu berdepan dengannya.
“Dia seorang lelaki yang sangat saya sukai. Dia benar-benar tegas. Saya tidak mahu melawannya,” kata Trump ketika berucap di United States Institute of Peace.
“Negara Besar, Pemimpin Hebat”
Dalam masa sama, Trump turut mengagumi keupayaan Prabowo mengemudi Indonesia yang mempunyai jumlah penduduk yang sangat besar.
Menurutnya, beliau sendiri terkejut apabila dimaklumkan jumlah rakyat Indonesia mencecah sekitar 240 juta orang.
“Saya tanya berapa jumlah penduduk Indonesia. Bila dia jawab, saya minta ulang sekali lagi. Ini negara yang sangat besar, dan beliau lakukan tugas yang hebat serta dihormati ramai,” katanya.
Trump turut merakamkan penghargaan kepada Prabowo atas kehadirannya dalam mesyuarat tersebut.
Indonesia Dilantik Timbalan Komander ISF
Dalam perkembangan sama, Indonesia mencipta satu lagi pencapaian di pentas antarabangsa apabila dilantik sebagai Timbalan Komander bagi Pasukan Penstabilan Antarabangsa (ISF).
Pengumuman itu dibuat oleh Mejar Jeneral, Jasper Jeffers, semasa mesyuarat berkenaan.
“Saya telah menawarkan dan Indonesia telah menerima jawatan Timbalan Komander bagi ISF,” katanya.
Pelantikan itu dilihat sebagai satu pengiktirafan terhadap peranan semakin besar Indonesia dalam aspek keselamatan dan kestabilan global. – The Malaysian Update
The post “Saya Tak Mahu Lawan Dia” — Trump Puji Ketegasan Prabowo Di Pentas Antarabangsa appeared first on The Malaysian Update.
