Media kelmarin melaporkan penyampai radio Tyzo atau nama sebenar Tuah Zulqarnain Idris, 47, tidak disambung kontrak perkhidmatannya di stesen radio Suria FM dipercayai berkaitan dengan permintaan kenaikan gaji yang tinggi, serta pelbagai syarat yang tidak dapat dipenuhi.
Menurut sumber Malaysia Gazette, Tyzo meminta kenaikan gaji itu selepas berjaya merangkul anugerah penyampai radio popular ABPBH 2023.
Bagaimanapun dalam kenyataannya kepada Harian Metro, Tyzo enggan mengulas mengenai dakwaan itu. Sebaliknya menunggu kenyataan Suria FM pada sidang media Jumaat ini.
“Saya tidak mahu mengiyakan atau menafikan perkara berkenaan. Saya akan menunggu kenyataan rasmi daripada pihak terbabit yang difahamkan bakal berlangsung Jumaat ini, sebelum saya membuat kenyataan,” katanya.
Dalam pada itu, Tyzo memaklumkan ada menerima tawaran daripada stesen radio lain tetapi masih belum ditawarkan secara rasmi.
Terdahulu, pengurus besar Suria FM, Roslinda Abd. Majid atau DJ Lin, juga tidak mahu memberi sebarang kenyataan kerana mendapat arahan daripada pihak atasan.
“Minta maaf, saya tidak dibenarkan untuk beri apa-apa kenyataan. Insha-Allah Jumaat depan, kami akan jelaskan semuanya dalam satu sidang media,” katanya.
Kontrak Tyzo di Suria FM tidak disambung berikutan pihak stesen berkenaan mempunyai strategi dan perancangan baru. Pada hari terakhir bertugas, Tyzo sempat mengucapkan terima kasih kepada DJ Lin di atas ‘penganiayaan’ itu. Malah dalam kenyataan di Instagram, Tyzo mengakui dia tidak reda dengan keputusan tersebut.
Sumber: Harian Metro
The post ‘Saya tak mahu mengiyakan atau menafikan’ – Tyzo enggan buka mulut tentang dakwaan minta kenaikan gaji tinggi appeared first on The Reporter.



