'Saya tak pernah tandatangan apa-apa SD' - ADUN Kunak

Politics
16 Jan 2023 • 12:38 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Norazlinah

KUNAK - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kunak, Norazlinah Arif sekali lagi menafikan dakwaan bahawa beliau bakal meninggalkan Parti Warisan (Warisan) dalam tempoh terdekat.

Katanya, dia tidak pernah menandatangani sebarang dokumen surat Akuan Bersumpah (SD) untuk bertukar parti seperti tular di sebuah portal di negeri ini.

"Ini bukan kali pertama saya menafikan perkara seperti ini. Jangan percaya, perkara ini tidak betul. Saya menafikan tidak pernah menandatangani apa-apa SD bagi tujuan menukar sokongan kepada parti lain.

"Ini hanya sekadar mainan politik sekali gus sengaja menimbulkan isu yang dilihat tidak masuk akal serta hanya mengelirukan rakyat, khususnya di peringkat akar umbi," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Norazlinah yang juga Ketua Wanita Warisan berkata, ketika ini beliau bersama semua ADUN Warisan berada di belakang Presiden Datuk Seri Mohd Shafie Afdal.

"Saya akan terus menghormati mandat serta kepercayaan yang telah diberikan kepadanya pada Pilihan Raya Negeri ke-16 (PRN16) lalu.

"Kita akan terus memperjuangkan menuntut hak rakyat Sabah yang terkandung dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63)," katanya.

Norazlinah berkata, sebagai pemimpin beliau sentiasa mengambil pendekatan untuk tidak mudah terpengaruh dengan orang lain sekali gus kekal bersama kepimpinan sedia ada.