Saya telah buat yang terbaik dalam pemilihan senarai calon: PM

Politics
28 Jul 2023 • 8:43 AM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

image is not available

image is not available

PORT DICKSON - Datuk Seri Anwar Ibrahim yakin pemilihan calon untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri telah diadakan sebaik mungkin dan isu tidak puas hati sesetengah pihak berhubung senarai percalonan itu adalah perkara biasa pada setiap pilihan raya.

"Dalam dunia ni, dalam pilihan raya, tiada yang semua berpuas hati...jadi kita dengar dan hormat serta cuba terangkan tetapi tidak akan memuaskan hati semua pihak. Saya fikir telah buat sebaiknya," katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Pakatan Harapan berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyerahan watikah pencalonan kepada enam calon PKR di Negeri Sembilan bagi PRN kali ini.

Anwar menyerahkan watikah kepada Datuk Seri Aminuddin Harun yang dicalonkan untuk bertanding bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sikamat, Tengku Zamrah Tengku Sulaiman (Ampangan), Nur Zunita Begum (Pilah), Ismail Ahmad (Labu), Yew Boon Lye (Chuah) dan Dr Rajasekaran (Sri Tanjung).

PRN di enam negeri iaitu Negeri Sembilan, Selangor, Kedah, Kelantan, Terengganu dan Pulau Pinang akan diadakan pada 12 Ogos ini. Esok merupakan hari penamaan calon.

Menurut Anwar, yang juga Presiden PKR, setakat ini keadaan terkawal dan semua pihak perlu memberi peluang kepada calon baharu.

"Sepatutnya sekarang giliran yang lain, kita pun perlu ada pelapis, tidak boleh seorang itu kekal selamanya," katanya.

Mengenai manifesto PRN, Anwar berkata ia akan dilakukan mengikut negeri masing-masing. - 28 Julai, 2023