‘Saya Terima Peletakan Jawatan Shamsul Iskandar, SPRM Bebas Siasat’ - PM

LocalPolitics
26 Nov 2025 • 12:14 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bebas menjalankan siasatan ke atas isu didakwa melibatkan bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, siasatan tersebut bebas dijalankan tanpa sebarang campur tangan dari kerajaan.

“Kerajaan MADANI kekal teguh pada prinsip ketelusan dan integriti.

“Kami memberi ruang kepada proses siasatan mengikut lunas undang-undang,” katanya menerusi kenyataan ringkas hari ini.

Serentak dengan itu Perdana Menteri berkata, beliau menerima peletakan jawatan Shamsul.

“Saya menerima perletakan jawatan Setiausaha Politik Kanan, saudara (Datuk Seri) Shamsul Iskandar Mohd Akin dan mengucapkan terima kasih atas khidmat beliau,” katanya.

image is not available
Shamsul Iskandar Mohd Akin - Gambar fail

Shamsul Iskandar menerusi kenyataan di X semalam mengumumkan peletakan jawatan dan memberitahu, surat berkaitan telah diserahkan kepada Anwar pagi semalam. 

“Saya difahamkan ada percubaan untuk menyerang saya dengan perkara yang boleh merosakkan imej kerajaan Madani. 

“Justeru saya mengambil keputusan untuk mempertahankan diri saya daripada serangan ini,” katanya.

Bekas Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya itu menerusi hantaran sama turut mengucapkan terima kasih atas peluang diberikan kepadanya selama ini. 

“Saya mengucapkan terima kasih kepada YAB PM di atas kepercayaan yang diberikan kepada saya,” katanya. 

Meskipun tidak menyebut secara terperinci, serangan dikatakan Shamsul itu dipercayai merujuk kepada satu laporan berhubung surat sokongan, yang didakwa dikeluarkan ‘pembantu politik’ Anwar. 

Surat terbabit yang dialamatkan kepada seorang pembantu menteri kesihatan antara lain bertujuan meminta pihak berkaitan mempertimbang enam kontraktor untuk projek Hospital Muar. 

Perdana Menteri ketika mengulas mengenai perkara berkenaan berkata, kandungan surat sokongan itu amat ‘kabur’ dan bukan merupakan satu arahan yang jelas.

Anwar menyatakan demikian sebagai menjawab gesaan mantan Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli, yang meminta beliau mengambil tindakan tegas terhadap Shamsul Iskandar kerana mengeluarkan surat sokongan tersebut tahun lalu. - Getaran, 26 November 2025