
SETELAH sekian lama mengunci rapat mulut mengenai kemelut rumah tangganya, penyanyi kelahiran Negeri Sembilan, Nubhan Ahamad akhirnya tampil memberikan penjelasan eksklusif bersama HLive baru-baru ini.
Bukan niat untuk membuka pekung di dada, namun tekanan yang dihadapi memaksa pemilik suara lagu Ada Untukmu ini meluahkan apa yang tersirat di sanubari.
Ujar Nubhan, pada fasa awal, dia nekad mempertahankan ikatan perkahwinan tersebut demi rasa sayang dan masa depan anak-anak.
Bagaimanapun, keadaan mula berubah rentak apabila timbul isu tuntutan harta dalam jumlah yang tidak masuk akal sehingga merobek ketenangannya sebagai ketua keluarga.
Mendedahkan perkara sebenar, Nubhan mengakui dirinya berasa terhimpit apabila perbincangan mengenai masa depan rumah tangga bertukar menjadi sesi tuntutan material.

"Saya tidak bercakap apa-apa. Saya diam selama ini. Saya tidak mahu membuka apa-apa cerita. Tapi bila saya diam, maka ia menjadi-jadi dan saya ditekan," katanya memulakan bicara.
Lebih mengejutkan, Nubhan mendakwa wujud tuntutan harta mencecah jutaan ringgit serta syarat-syarat yang sukar diterima akal sebelum perceraian berlaku.
"Awalnya tidak berlaku perceraian itu. Tapi apabila saya tidak menceraikan, dia ingin menuntut harta 50-50 dan tandatangan RM5 juta.
"Sekiranya saya tidak menceraikan dia, dia disuruh untuk minta fasakh. Dia menuntut harta dulu. Selepas dia mendapat harta, baru dia berkahwin balik," dedah bapa kepada tiga cahaya mata itu lagi.
Membuktikan kasih sayang
Meskipun sedar latar belakang pendidikannya tidak setinggi pasangan yang merupakan seorang doktor, Nubhan tidak pernah menjadikan itu sebagai alasan untuk bermalas-malas.
Malah, dia sanggup bekerja keras siang dan malam, termasuk aktif melakukan sesi live di media sosial bersama ibunya, Mak Jenny, demi memastikan keselesaan keluarga.

Demi membuktikan kasih sayangnya, Nubhan juga telah berusaha menyediakan sebuah klinik gigi buat isteri tercinta bagi menyokong kerjaya profesional pasangannya itu.
"Saya tahu saya belajar tak tinggi. Tapi saya bekerja keras untuk keluarga, untuk beri keselesaan kepada anak-anak dan dia. Sayua cuba tunaikan permintaannya.
"Saya berusaha untuk membina, membuka satu klinik gigi untuk dia. Sebab, mungkin saya terlalu manjakan dia, kot. Sebab itulah banyak pelanggaran dia buat," kongsi pemenang tempat ketiga Gegar Vaganza 12.
Menyentuh soal nafkah, Nubhan menjelaskan bahawa dia sentiasa mencuba sehabis baik untuk menunaikan permintaan perbelanjaan bulanan yang mencecah lima angka.
"Dia pernah minta RM10,000 sebulan. Saya cuba dapatkan RM10,000 sebulan untuk perbelanjaan.
"Tidak kisahlah daripada klinik atau pemberian saya. Saya dah cuba yang terbaik," ungkap lelaki itu lagi.

Jodoh sampai situ
Walaupun berat untuk melepaskan, Nubhan kini berada pada fasa reda.
Baginya, setiap usaha sudah dilakukan, namun sekiranya takdir menentukan perjalanan mereka berakhir di sini, dia hanya mampu berserah kepada ketentuan-NYA.
"Tanggungan saya bukan sekadar keluarga saya sahaja. Ada lagi yang lain. Kalau lah usaha saya tidak cukup, kalau apa yang saya beri selama ini tidak mampu memuaskan dia, saya hanya mampu tahap itu.
"Tapi jika jodoh saya sampai ke situ, saya terpaksa akur dan reda," tuturnya lagi.
