'Saya tidak akan berdiam diri selepas bersara' - Azam Baki

LocalPolitics
11 May 2026 • 11:55 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: 'Saya tidak akan berdiam diri selepas bersara' - Azam Baki
Azam dalam temubual Podcast Kolar Hitam terbitan SPRM pada Isnin.

PUTRAJAYA - Tan Sri Azam Baki tidak berhasrat untuk menghilangkan diri daripada perhatian umum selepas bersara sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Beliau berkata, beliau masih mahu menyumbang kepada negara, selain bersuara mengenai tadbir urus dan isu antirasuah apabila perlu.

Azam yang akan bersara pada 12 Mei selepas 42 tahun berkhidmat dengan Badan Pencegah Rasuah (BPR) dan kemudian SPRM berkata, beliau akan terus berkongsi pengalaman serta pandangan demi manfaat masyarakat dan suruhanjaya itu.

“Saya akan terus menyumbang apa sahaja yang mampu kepada negara dan masyarakat.

“Jika tiba masanya dan saya merasakan perlu untuk bersuara, saya akan terus memberikan pandangan yang membina,” katanya dalam satu sesi podcast eksklusif SPRM.

Menurutnya, persaraan tidak bermakna seseorang itu perlu berhenti menjadi produktif atau tidak lagi berguna kepada masyarakat.

“Saya selalu katakan bahawa lelaki akan terus bekerja sehingga hari dia diusung ke masjid,” katanya.

Azam turut menolak kemungkinan menyertai politik atau menceburi bidang perniagaan selepas bersara.

“Politik bukan bidang saya. Perniagaan pun saya tidak tahu bagaimana mahu berniaga,” katanya berseloroh sambil menambah, beliau masih aktif bersukan dan memberi tumpuan kepada penjagaan kesihatan serta penampilan diri.

Beliau berkata, disiplin, kesihatan dan keyakinan diri tetap penting untuk dijaga walaupun selepas bersara.

“Orang yang berada di hospital tidak mahukan jutaan ringgit lagi. Mereka hanya mahukan kesihatan yang baik,” katanya.

Mengimbas tempoh beliau menerajui SPRM, Azam berkata, suruhanjaya itu perlu meneruskan agenda antirasuah yang berani dan radikal dalam tempoh lima tahun akan datang, khususnya membanteras rasuah sistemik melibatkan ketirisan perolehan dan salah guna kuasa.

“Inilah masanya kita perlu berani dan radikal,” katanya.

Menurutnya, rasuah dalam beberapa sektor masih bersifat sistemik dan serius, sekali gus memerlukan penguatkuasaan yang agresif serta keberkesanan operasi.

Beliau berkata, masyarakat kini semakin mengharapkan SPRM untuk terus melaksanakan tindakan penguatkuasaan besar dan membawa kes berprofil tinggi secara konsisten.

“Apa selepas ini? Itu sentiasa menjadi tekanan kepada SPRM. Selepas satu tangkapan, orang bertanya siapa pula selepas ini. Itulah jenama dan jangkaan yang diletakkan terhadap SPRM,” katanya.

Azam mengakui tekanan untuk sentiasa memenuhi harapan masyarakat adalah antara cabaran paling besar sepanjang mengetuai suruhanjaya itu.

“Ada masanya saya bertanya kepada diri sendiri, apa lagi yang mahu saya persembahkan kepada rakyat selepas ini,” katanya.

Beliau berkata, tekanan itu turut dipengaruhi persepsi awam dan naratif media sosial yang disifatkannya mustahil untuk dikawal sepenuhnya.

“Kita tidak boleh menghentikan persepsi, sama ada positif atau negatif,” katanya.

Azam berkata, pegawai SPRM tidak seharusnya terganggu dengan kritikan atau serangan dalam talian, sebaliknya perlu terus fokus kepada keutamaan operasi dan matlamat institusi.

“Saya selalu mengingatkan pegawai saya supaya tidak membuang masa terhadap perkara remeh. Fokus kepada misi yang lebih besar,” katanya.

Beliau turut mengingatkan pemimpin pada masa depan supaya tidak bersikap angkuh dan leka, sambil menegaskan tiada pemimpin agensi penguatkuasaan yang mampu berjaya secara bersendirian.

“Saya boleh mencabar mana-mana pemimpin agensi. Jika dia fikir hanya dia seorang yang bijak, maka dia sedang menuju kehancuran,” katanya.

Azam berkata, transformasi dalam SPRM mesti diteruskan secara berterusan dengan kepimpinan sentiasa menilai dan menambah baik pendekatan operasi, prosedur serta strategi supaya kekal relevan.

“Transformasi ialah sesuatu yang hidup. Apa yang berkesan satu atau dua tahun lalu mungkin tidak lagi relevan hari ini,” katanya.

Beliau berkata, kepimpinan dalam agensi penguatkuasaan memerlukan ketegasan dan tiada kompromi terhadap rasuah, salah laku jenayah atau pelanggaran disiplin dalam organisasi itu sendiri.

Azam turut mendedahkan, beliau masih mengarahkan tindakan segera terhadap pegawai bermasalah walaupun pada hari-hari terakhir sebelum persaraannya.

“Saya tidak mahu meninggalkan masalah kepada ketua pesuruhjaya yang baharu,” katanya.