“Saya tidak berminat…”- Raja Muda Selangor tolak jawatan Presiden FAM, mahu fokus FAS

LocalFootball
15 Feb 2026 • 8:01 PM MYT
Oh My Media
Oh My Media

A digital platform emphasizing quality content and inspirational stories.

Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menegaskan beliau mahu menumpukan perhatian terhadap pembangunan Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) ketika ini dan tidak bercadang untuk merebut jawatan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Baginda menyatakan perkara itu ketika ditanya mengenai minatnya terhadap jawatan tertinggi badan induk bola sepak negara.

“Oh tidak, saya tidak berminat. Fokus saya adalah Selangor FC.
“Kita masih mempunyai banyak perkara yang perlu dicapai ketika ini, khususnya dari segi pengadil.
“Saya benar-benar percaya kita boleh melahirkan pengadil yang lebih baik, jurulatih yang lebih baik, bukan hanya tertumpu kepada pemain semata-mata tetapi keseluruhan ekosistem bola sepak,” kata baginda pada Majlis Pelancaran Buku Gemilang: Sejarah Perjalanan Bolasepak Selangor di Stadium Merdeka.

image is not available

Raja Muda Selangor tolak jawatan Presiden FAM

Tengku Amir Shah menekankan bahawa melalui FAS, sumbangan dapat diberikan dengan lebih berkesan bagi memastikan pembangunan bola sepak dilaksanakan secara menyeluruh.

“Melalui FAS di situlah saya fikir saya boleh menyumbang paling banyak. Jadi, fokus saya ketika ini adalah bersama FAS,” tambah baginda.

Baginda turut menegaskan kesediaannya untuk terus menyokong kepimpinan FAM demi kemajuan bola sepak negara meskipun tidak bercadang merebut jawatan presiden.

image is not available
“Saya akan terus menyokong dan memberikan yang terbaik dalam apa jua peranan yang perlu bagi menyokong bola sepak Malaysia.
“Namun seperti yang saya katakan, fokus utama saya adalah FAS,” kata Tengku Amir Shah.

Sebelum ini, Ketua Pegawai Eksekutif Kelantan The Real Warriors (KTRW), Datuk Mohd Irwan Rizal menamakan tiga individu sebagai calon terbaik mampu diketengahkan bagi mengemudi FAM ketika ini.

Tiga individu yang dimaksudkan ialah Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah, Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, dan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.

Menurut beliau, ketiga-tiga kerabat diraja ini memiliki aura serta pengaruh tersendiri bukan sahaja di dalam negara, malah di persada antarabangsa.

Sumber: X faizalbazario