Saya tidak berniat pamer kertas undi – Muhammad Sanusi

Politics
13 Aug 2023 • 12:24 AM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

image is not available

SIK - Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mendakwa beliau tidak berniat untuk mempamerkan kertas undinya kepada pihak media ketika mengundi pada Pilihan Raya Negeri hari ini.

Sebaliknya beliau berkata kertas undi itu terdedah secara tidak sengaja ketika melayani permintaan pihak media untuk mengambil gambarnya.

“Bukan saya berniat mempamerkan kertas itu. Tapi bila kita pusing sini pusing sana (untuk mengambil gambar) kertas itu terbuka. 

“Tak terniat saya untuk pamer. Tapi bila kelam-kabut melayani permintaan rakan-rakan wartawan, dia jadi macam itu,” katanya kepada pemberita di Pusat Penjumlahan Undi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeneri di Dewan Muhammad Abduh Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Sik di sini.

Petang tadi, tular gambar Muhammad Sanusi dengan kertas undi yang memaparkan pilihan beliau sebelum memasukkannya ke dalam kotak undi.

Seksyen 39 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 menyebut tiada pemilih yang telah mengundi dalam mana-mana pilihan raya boleh, dalam mana-mana prosiding yang mempersoalkan pilihan raya itu, dikehendaki menyatakan siapa yang telah diundinya.

Akta tersebut selanjutnya menyebut kesalahan itu boleh dihukum penjara sehingga setahun, denda sehingga RM3,000, atau kedua-duanya sekali.

Mengulas kejayaan mempertahankan kerusi DUN Jeneri, Muhammad Sanusi berkata ini menggambarkan  pengundi  menolak kerjasama Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).

Terdahulu, beliau diumum sebagai pemenang di kerusi itu dengan majoriti 16,050 undi selepas memperoleh sebanyak 21,823 undi menewaskan calon BN Datuk Muhamad Khizri Abu Kassim yang mendapat 5,773 undi.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14, Muhammad Sanusi menang kerusi itu dengan majoriti undi sebanyak 2,455 menewaskan dua calon lain iaitu Mahadzir Abdul Hamid (BN) dan Mohd Nazri Abu Jassan (PH). - 13 Ogos, 2023

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved