
KUALA LUMPUR - Keputusan tiada tindakan lanjut (NFA) dalam kes dana Yayasan Akalbudi melibatkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi adalah muktamad, kata Peguam Negara Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar.
Menurut Dusuki, selepas meneliti enam representasi yang dikemukakan oleh pihak pembelaan, jabatan itu berpuas hati kes dihadapi Zahid lemah dan tidak memungkinkan ia diteruskan.
Dusuki berkata setiap satu daripada enam representasi telah diteliti secara terperinci, bersama-sama rekod prosiding dan bukti yang ada, sebelum pihak pendakwaan menggunakan budi bicara mereka.
“Saya tidak sewenang-wenangnya memberikan NFA… selepas meneliti representasi tersebut, kami mendapati bahawa kes ini telah menjadi lemah.
“Itulah keputusannya. NFA. Beliau tidak boleh didakwa lagi,'' katanya, lapor media tempatan.
Dusuki ditemui selepas Majlis Perasmian Tahun Perundangan 2026 di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini hari ini.
Baru-baru ini, beberapa pihak mempersoalkan keputusan Peguam Negara yang mengklasifikasikan kes membabitkan Zahid sebagai tiada tindakan lanjut (NFA) akan diambil dalam kes melibatkan 47 pertuduhan berkaitan pecah amanah, rasuah dan penggubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi.
Antara yang membangkitkan persoalan berkenaan ialah Ketua Penerangan Pejuang, Muhammad Rafique Rashid Ali yang menegaskan perkembangan itu turut diperhatikan oleh rakyat, khususnya apabila NFA dibuat selepas Zahid menjadi Timbalan Perdana Menteri.
Sementara Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4 Center) dan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) dalam satu kenyataan meluahkan kekecewaan dengan keputusan itu walaupun ketika itu mahkamah telah memerintahkan beliau membela diri.
Dalam pada itu, Dusuki turut menolak tanggapan bahawa kes Zahid sepatutnya diteruskan kerana Mahkamah Tinggi telah memutuskan terdapat kes prima facie, sambil menyatakan bahawa kes-kes serupa pada masa lalu turut dikaji semula walaupun telah sampai ke peringkat Mahkamah Rayuan.
“Terdapat kes yang sabit di Mahkamah Tinggi. Namun di peringkat Mahkamah Rayuan, kami mengkaji semula kes-kes tersebut kerana terdapat keperluan untuk berbuat demikian,” katanya. - 12 Januari, 2026
The post ‘Saya tidak sewenang-wenangnya beri NFA dalam kes Zahid’ : Peguam Negara appeared first on Scoop.
