'Saya tidak takut dengan parang kau'

LocalPolitics
11 Feb 2025 • 5:44 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Lokasi pergaduhan bermula yang terletak kira-kira 100 meter dari lokasi tetakan berlaku. (FOTO: SINAR HARIAN)

image is not available
Orang awam menyiram air di keretanya yang terkena percikan darah akibat pergaduhan itu. FOTO: SINAR HARIAN

image is not available
Lokasi kejadian tetakan sudah dibersihkan. FOTO: SINAR HARIAN.

JOHOR BAHRU - Seorang saksi sebuah video tular memaparkan seorang lelaki terbaring dan terdapat sebilah pisau pemotong daging di Jalan Wong Ah Fook, di sini, petang Selasa mendakwa cuba menghalang situasi berkenaan daripada bertambah teruk tetapi gagal.

Saksi kejadian yang hanya mahu dikenali sebagai Hidayah berkata, individu yang memegang pisau pemotong daging itu dikatakan sudah melempar senjata tersebut, namun mengambilnya semula selepas dicabar seorang lagi lelaki.

**media[3003658]**

"Mereka gaduh berdua saja. Memang dengar bunyi bising dan ramai orang menyaksikan kejadian tersebut.

"Mereka berkejaran dan bertekak. Keadaan bertambah teruk apabila salah seorang daripadanya berkata 'saya tidak takut dengan parang kau' dan selepas itu bermula pergaduhan serius hingga berlaku kecederaan," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Sebelum ini, tular satu rakaman yang memaparkan seorang lelaki terbaring dan terdapat sebilah pisau pemotong daging di Jalan Wong Ah Fook, di sini, petang Selasa.

**media[3003660]**

Terdapat video lain yang menunjukkan kesan darah di atas lantai dan orang ramai memenuhi lokasi kejadian yang merupakan laluan utama di tengah bandar yang menghubungkan ke laluan Bangunan Sultan Iskandar (BSI).

Sementara itu, menurut seorang lagi saksi kejadian yang mahu dikenali sebagai Mohd, kejadian itu dikatakan berlaku dengan begitu pantas dan dia mampu berbuat apa-apa kerana terkejut.

"Saya sangat terkejut dan tidak boleh berfikir apa yang patut saya buat. Tergamam dan mampu melihat sahaja dari atas.

"Kejadian berlaku kira-kira 10 minit macam itu kalau ikut rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di sini," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat ketika dihubungi memberitahu siasatan lanjut mengenai motif kes masih dijalankan.