“Saya tidak terlibat, itu hak SPRM untuk siasat” - Nik Nazmi

LocalPolitics
21 Jun 2026 • 10:18 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: “Saya tidak terlibat, itu hak SPRM untuk siasat” - Nik Nazmi
Gajah Dara, Amoi dan Kelat yang menyentuh hati kerana dihantar jauh ke negara asing atas nama pemuliharaan serta kerjasama antarabangsa. Gambar kiri: Nik Nazmi

KOTA BHARU - Bekas Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad menegaskan beliau tidak mempunyai sebarang kaitan dengan dakwaan rasuah berhubung pemindahan tiga ekor gajah ke Jepun, malah menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan jika perlu.

Ketika ditemui pada program Jelajah Parti Bersama Malaysia (Bersama) di Pantai Cahaya Bulan di sini pada Sabtu, beliau berkata dakwaan yang dibangkitkan terhadap dirinya tidak mempunyai kaitan dengan beliau.

“Benda itu saya tidak terlibat dan mungkin nak siasat, itu hak mereka,” katanya kepada pemberita.

Ditanya sama ada kenyataan itu bermakna beliau mengalu-alukan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Nik Nazmi menjawab ringkas sama seperti kenyataan sebelum ini.

“Ya, saya dah sebut sebelum ini,” ujarnya.

Kenyataan itu dibuat susulan dakwaan oleh kumpulan hak hidupan liar, Peguam Hak Asasi Hidupan Liar Malaysia (Hidup), yang mahu membuat aduan kepada SPRM berhubung pemindahan tiga ekor gajah iaitu Dara, Amoi dan Kelat ke sebuah zoo di Osaka, Jepun.

Hidup mendakwa terdapat bayaran berkaitan urusan berkenaan yang tidak disalurkan kepada kerajaan, selain mengaitkan beberapa individu dengan transaksi bernilai RM53 juta.

Nik Nazmi bagaimanapun sebelum ini menafikan sebarang pembabitan dirinya atau bekas pejabatnya dalam dakwaan berkenaan serta menegaskan kelulusan akhir pemindahan itu dibuat selepas beliau meninggalkan jawatan menteri pada Julai tahun lalu.

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved