
RAMADAN kali ini merupakan tahun kedua buat pelakon Harun Hashim berpuasa tanpa insan tersayang di sisi, selepas pemergian isteri yang amat dicintainya.
Rindu tidak berpenghujung, kesetiaan Harun buat Allahyarham Sakinah Ganjali yang pergi selamanya pada 2024 akibat kanser payudara jelas masih utuh terpahat di hati.
Malah, setiap hari pelakon berusia 70 tahun yang kini tinggal bersendirian di Bukit Hijau, Jeram, Kuala Selangor itu akan mengunjungi pusara isteri tercinta.
"Saya sudah dua tahun berpuasa seorang diri. Saya lagi sanggup berseorangan di rumah daripada pergi berjalan ke luar.
“Kubur dia, hari-hari saya pergi dan sebab itulah rumah dekat dengan kawasan kubur.
"Kecuali kalau saya keluar tidur rumah kawan atau ada penggambaran hingga lewat malam, itu tidaklah ke kubur.
“Orang nak kata apa, katalah tapi saya sayang dia sangat-sangat,” katanya.
Pemergian Sakinah terus dikenang Harun. Setiap perjalanan ditempuhi bersama, bersama-sama memandu ke lokasi antara perkara yang menggamit rindu Harun kepada arwah.
“Sebelum ini kalau pergi mana-mana saya dengan dia berdua saja. Saya memandu, dia akan duduk di sebelah sambil tengok aplikasi Waze.
“Saya ini pelupa orangnya, jadi dia kena selalu ada bersama saya. Amat terasalah kehilangan dia,” kongsinya lagi.
Untuk rekod, Allahyarham Sakinah menghembuskan nafas terakhir di Hospital Al-Sultan Abdullah, Universiti Teknologi MARA (UiTM) pada 21 November 2024 akibat kanser payudara tahap empat pada usia 48 tahun.
Harun ditemui SinarPlus pada pada Majlis Iftar Jiwa Prihatin anjuran Yayasan Nurjiwa dengan kerjasama Yayasan Prihatin.
Dia yang mula aktif pada tahun 1976 itu menjadi salah seorang jemputan yang diraikan.


