
Kota Kinabalu: Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan (SDPK) Peringkat Negeri Sabah yang berlangsung di Dewan Amil Jaya, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sabah baru-baru ini menjadi wadah utama dalam memupuk serta menyuburkan semangat patriotisme dalam kalangan generasi muda.
Timbalan Presiden Badan Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena) Zainal Mohd Jais berkata penganjuran program seumpama itu penting bagi memastikan golongan muda bukan sahaja menyambut Hari Kebangsaan malah menghayati nilai kebebasan dan perjuangan tokoh terdahulu melalui bait-bait puisi.
Beliau yang juga Pengarah Sayembara Deklamasi Puisi Peringkat Kebangsaan berkata penghayatan terhadap karya sastera bertemakan kemerdekaan mampu membina jati diri bangsa yang ampuh serta membina kedaulatan negara.
Turut hadir Presiden Badan Bahasa dan Sastera Sabah (Bahasa) Datuk Jasni Matlani, Naib Presiden Gapena Dr Hashim Ismail, Timbalan Pengarah DBP Cawangan Sabah Dr Zaidi Ismail, Naib Presiden Bahasa Abdul Karim Gullam serta Pengerusi Pelaksana Sayembara Salvia Rose.
Pertandingan kali ini mempertandingkan dua kategori iaitu kategori umum dan kategori sekolah menengah.
Bagi kategori umum Asmah Juning muncul juara diikuti Nur Amalina Izzati Abdul Hapid di tempat kedua dan Mohd Redzwan Abdul Majid di tempat ketiga.
Kategori sekolah menengah pula menyaksikan Muhamad Said Sulaiman Sumardi dinobatkan sebagai johan manakala Adi Wafri Jahuddin muncul naib johan dan Nik Ithar Ikhtiari Isa di tempat ketiga.

