Sayu! Ibu Gajah Enggan Tinggalkan Anak Selama 7 Jam Selepas Dirempuh Kereta

LocalEnvironment
1 Jul 2026 • 8:35 PM MYT
Borak Daily
Borak Daily

Curious & progressive. Bringing you the latest lifestyle & entertainment news

Tragedi menyayat hati yang pernah menggemparkan negara di Gerik, Perak tahun lalu seakan berulang apabila seekor ibu gajah enggan berganjak selama hampir tujuh jam selepas anaknya mati dirempuh sebuah kenderaan di Jalan Felda Nitar, Mersing, awal pagi tadi.

Kejadian yang berlaku kira-kira jam 2.28 pagi itu tular di media sosial apabila video memaparkan seekor gajah betina berdiri di sisi anaknya yang mati akibat dirempuh sebuah Perodua Bezza.

Seekor anak gajah mati

Memetik laporan daripada Bernama, Jurucakap Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Johor menyatakan, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu sekitar jam 8.30 pagi sebelum empat anggota dihantar ke lokasi untuk menjalankan siasatan.

Menurutnya, setibanya di lokasi, pihaknya mendapati seekor anak gajah betina yang dianggarkan berusia lima tahun telah mati, manakala seekor gajah dewasa yang dipercayai ibunya masih berada di kawasan kejadian.

“Siasatan turut mendapati kumpulan gajah berkenaan dikenal pasti daripada ID Jamaluang-Mersing.
“Anak gajah itu dikenal pasti sebagai gajah betina dengan ukuran panjang badan kira-kira 150 sentimeter, tidak mempunyai gading serta lebar tapak kaki hadapan 11 inci dan tapak kaki belakang 14 sentimeter,” katanya.

Image from: Sayu! Ibu Gajah Enggan Tinggalkan Anak Selama 7 Jam Selepas Dirempuh Kereta

Bangkai ditanam dikawasan berhampiran

Beliau menambah, pasukan Unit Tangkapan Gajah dari Pusat Santuari Gajah Johor (JES) kemudian membantu mengalihkan ibu gajah itu masuk semula ke dalam hutan, manakala bangkai anak gajah berkenaan ditanam di kawasan berhampiran.

Katanya lagi, Perhilitan akan meneruskan rondaan pada waktu malam bagi memastikan keselamatan ibu gajah tersebut selain mengelakkannya daripada kembali ke lokasi kejadian.

Image from: Sayu! Ibu Gajah Enggan Tinggalkan Anak Selama 7 Jam Selepas Dirempuh Kereta

Dalam kejadian sama, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) memaklumkan seorang lelaki mengalami kecederaan pada kaki selepas kereta dipandunya terbabas dan terjatuh ke dalam gaung sedalam lima meter akibat melanggar anak gajah berkenaan.

Perhilitan turut memaklumkan papan tanda amaran laluan gajah melintas telah dipasang di kawasan itu dan menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati, terutama ketika melalui laluan berkenaan pada waktu malam kerana ia merupakan habitat serta laluan gajah liar.

Insiden itu mengimbau kembali tragedi di Gerik, Perak pada 11 Mei tahun lalu apabila seekor ibu gajah cuba menolak sebuah lori kontena bagi menyelamatkan anaknya yang terperosok di bawah kenderaan tersebut selepas dirempuh, sekali gus mengundang sebak dan perhatian masyarakat terhadap konflik antara manusia dan hidupan liar.

Sumber: Facebook Comunity Roda Johor -CRJ, Bernama

The post Sayu! Ibu Gajah Enggan Tinggalkan Anak Selama 7 Jam Selepas Dirempuh Kereta appeared first on Borak Daily.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved