SBWP bentuk pemimpin masa depan, gimik bakar karikatur PM bukan politik matang – Sivamalar Genapathy

LocalPolitics
23 Jun 2025 • 5:17 PM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

image is not available

SAYA berpeluang untuk menyaksikan secara dekat Sidang Belia Wilayah Persekutuan (SBWP) Mesyuarat Pertama Penggal 2025 yang berlangsung dari 21 hingga 23 Jun 2025.

SBWP merupakan satu inisiatif strategik yang dimulakan pada tahun 2024 oleh Jabatan Wilayah Persekutuan di bawah naungan YB Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan).

Sidang ini adalah platform inklusif yang membuka ruang kepada anak muda dari Kuala Lumpur, Putrajaya, dan Labuan untuk memahami secara langsung proses penggubalan dasar serta demokrasi berparlimen.

Dengan penyertaan 65 orang wakil belia dari pelbagai latar belakang termasuk 3 orang pelajar tingkatan 6, saya amat kagum melihat kematangan dan kecerdasan mereka dalam berbahas serta mengemukakan cadangan dasar yang bernas merentas pelbagai kluster isu seperti ekonomi, sosial,teknologi,perundangan,alam sekitar.

SBWP bukan sekadar medan debat, tetapi mekanisme berstruktur yang membolehkan suara belia diterjemahkan kepada memorandum dan cadangan dasar kepada agensi kerajaan.

Ini jelas membuktikan bahawa belia kita bukan sahaja prihatin, malah mampu menjadi pemimpin masa depan yang berkualiti yang memahami proses pengubalan dasar dan sistem demokrasi berparlimen.

Pada masa yang sama, saya juga ingin menzahirkan rasa kesal terhadap tindakan tidak beradab sekumpulan pelajar yang membakar karikatur YAB Perdana Menteri dalam perhimpunan “Gempur Rasuah Sabah 2.0” di Kota Kinabalu baru-baru ini.

Sekalipun Perlembagaan Persekutuan menjamin hak untuk berhimpun secara aman, tindakan membakar imej Perdana Menteri yang mewakili sebuah institusi tertinggi negara adalah keterlaluan, tidak berbudaya, dan menggugat kerharmonian negara.

Kita tidak menafikan hak belia untuk menyuarakan pendapat atau rasa tidak puas hati terhadap mana-mana dasar kerajaan. Namun, ia harus disalurkan melalui saluran yang betul, matang dan bertanggungjawab.

Sidang Belia Wilayah Persekutuan adalah contoh terbaik bagaimana suara belia boleh didengari secara konstruktif dan berkesan, tanpa mencemarkan adab masyakat Malaysia dan tatasusila demokrasi.

Saya menyeru semua negeri untuk mempertimbangkan pelaksanaan program seperti SBWP demi memperkasakan penyertaan belia dalam proses kenegaraan.

Negara kita memerlukan lebih ramai ahli politik dan pemimpin masa depan yang memahami dasar, menghormati institusi, dan bersikap matang dalam membawa perubahan.

Sebagai seorang ahli politik, saya melihat Sidang Belia ini sebagai platform untuk melatih kepimpinan baru yang lebih berkualiti.

Bahkan, saya mengajak semua ahli politik, tanpa mengira latar belakang parti, untuk mengikuti sesi SBWP kerana kita semua harus mendengar bagaimana belia-belia membahas usul dengan lebih matang dalam mendepani perbezaan pandangan.

Belia adalah entiti yang rapuh tetapi penuh potensi. Mereka boleh dibentuk menjadi saintis yang mencipta penawar yang menyelamatkan negara, atau dipengaruhi menjadi ekstremis yang mencipta senjata biologikal yang memusnahkan bangsa sendiri.

Segalanya bergantung kepada siapa yang membimbing mereka, dan platform apa yang kita sediakan untuk mereka bersuara.

Justeru, kita sebagai pemimpin hari ini mempunyai tanggungjawab besar, bukan sahaja untuk mendengar suara belia, tetapi memastikan mereka ditunjuk arah yang benar, agar mereka membesar dengan akal yang tajam, jiwa yang luhur, dan cinta yang mendalam terhadap tanah air.

Sidang Belia Wilayah Persekutuan adalah contoh bagaimana kita boleh menggalakkan politik matang yang boleh melahirkan pemimpin masa depan yang bertanggungjawab. - 23 Jun, 2025

Sivamalar Genapathy adalah Ahli Majlis Pimpinan Pusat Parti Keadilan Rakyat