SC arah Huobi Global henti operasi ekoran beroperasi secara haram di Malaysia
zulfadli
22/05/2023 - 11:41
KUALA LUMPUR 22 Mei - Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) mengarahkan Huobi Global Limited menghentikan operasinya ekoran mengendalikan pertukaran aset digital (DAX) di negara ini tanpa pendaftaran dan beroperasi secara haram.
SC dalam kenyataan di laman webnya hari ini memaklumkan, arahan itu termasuk menghentikan pengoperasian laman web dan aplikasi mudah alihnya dalam platform seperti Apple Store, Google Play dan mana-mana platform aplikasi digital lain.
Katanya, Huobi Global juga telah diarahkan untuk menghentikan pengedaran, penerbitan atau penghantaran sebarang iklan, sama ada dalam e-mel atau di platform media sosial kepada pelabur Malaysia.
"Leon Li sebagai Ketua Pegawai Eksekutif telah diperintahkan secara khusus untuk memastikan arahan tersebut dilaksanakan," katanya.
Menurut SC, keputusan itu dibuat selepas terdapat kebimbangan mengenai pematuhan platform tersebut terhadap keperluan kawal selia tempatan dan dalam usaha melindungi kepentingan pelabur.
SC berkata, pihaknya memandang serius pelanggaran ini, kerana mengendalikan DAX tanpa didaftarkan dengan SC sebagai Pengendali Pasaran Diiktiraf (RMO) adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 7(1) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007.
SC juga menggesa pelabur Malaysia yang telah menggunakan Huobi Global untuk segera menghentikan dagangan melalui platformnya, menarik balik semua pelaburan, dan menutup akaun mereka.
"Pelabur dinasihatkan untuk melabur dan berurusan dengan RMO yang berdaftar dengan SC.
"RMO berdaftar telah menjalani penelitian kawal selia yang ketat dan dikehendaki mematuhi garis panduan yang ketat supaya pelabur dilindungi di bawah undang-undang sekuriti Malaysia," katanya.
SC berkata, mereka yang melabur dengan entiti atau individu yang tidak berlesen atau tidak berdaftar terdedah kepada risiko seperti penipuan dan mungkin tidak dilindungi di bawah undang-undang sekuriti Malaysia.
"Pelabur harus berhati-hati apabila memilih platform pelaburan dan sentiasa melakukan semakan sebelum membuat sebarang keputusan pelaburan," katanya.
Selain itu katanya, pelabur harus berhati-hati dengan skim pelaburan yang menjanjikan pulangan tinggi dengan risiko kecil, kerana ia mungkin tidak wujud.
Tambah kenyataan itu, dengan mengambil langkah berjaga-jaga ini, pelabur boleh melindungi pelaburan mereka dan mengelak daripada menjadi mangsa skim penipuan. - DagangNews.com


