SC dakwa bekas penganalisis bank salah guna gelaran 'perunding unit amanah', terlibat aktiviti pasaran modal tidak berlesen

Business & Finance
24 Jan 2024 • 11:10 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

SC dakwa bekas penganalisis bank salah guna gelaran 'perunding unit amanah', terlibat aktiviti pasaran modal tidak berlesen

herman

24/01/2024 - 11:10

KUALA LUMPUR 24 Jan - Seorang bekas penganalisis bank didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur semalam atas dua pertuduhan kerana melakukan aktiviti pasaran modal tidak berlesen dan menyalahgunakan gelaran ‘perunding unit amanah’.

Menurut Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), tertuduh, Mohd Arif Fadzlee Mohd Arifin didakwa melakukan kesalahan itu pada tahun 2011 di Petaling Jaya dan Nilai.

Bagi pertuduhan pertama, Mohd Arif didakwa di bawah Seksyen 59(1) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA) kerana menyatakan dirinya sebagai wakil CIMB Wealth Advisors Berhad dalam berurusan dalam sekuriti tanpa lesen.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh didenda maksimum RM5 juta atau penjara sehingga lima tahun, atau kedua-duanya sekali.

Bagi pertuduhan kedua, Mohd Arif didakwa di bawah Seksyen 362(3) CMSA kerana menggunakan gelaran ‘perunding unit amanah’, yang memberi tanggapan bahawa dia dilesenkan untuk berurusan dalam sekuriti sedangkan sebaliknya.

Kesalahan ini membawa hukuman denda maksimum RM1 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Tertuduh mengaku tidak bersalah bagi kedua-dua pertuduhan berkenaan dan menuntut dibicarakan.

Pendakwaan ke atas Mohd Arif dilakukan di dua Mahkamah Sesyen berasingan iaitu yang pertama di hadapan Hakim, Datin Sabariah Othman manakala pertuduhan menyalahgunakan gelaran ‘perunding unit amanah’ pula dibuat di hadapan Hakim, Azrul Darus.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM30,000 bagi setiap pertuduhan, menjadikan jumlah jaminan keseluruhan sebanyak RM60,000.

Bekas penganalisis bank itu juga diperintahkan untuk menyerahkan pasportnya kepada mahkamah dan melaporkan diri kepada SC setiap bulan.

Sementara itu, SC dalam kenyataan tersebut mengingatkan urus niaga dalam sekuriti merupakan aktiviti terkawal seperti yang dinyatakan dalam Jadual 2 CMSA.

Oleh itu tegasnya, mana-mana individu yang menjalankan aktiviti ini perlu dilesenkan oleh SC.

"SC menasihatkan pelabur supaya berhati-hati apabila menilai peluang pelaburan.

"Senarai Peringatan Pelabur SC sentiasa dikemas kini untuk membantu orang ramai mengenal pasti platform, syarikat atau individu yang tidak dibenarkan / tidak berlesen.

"Pertanyaan lanjut boleh dibuat kepada Pejabat Pengguna dan Pelabur SC di 03-6204 8999 atau e-mel: aduan@seccom.com.my," jelas kenyataan itu. - DagangNews.com