SC kenakan pertuduhan terhadap bekas pengarah Kyaputen akibat aktiviti pasaran modal tidak berlesen
diyana
09/11/2023 - 16:59
KUALA LUMPUR 9 Nov - Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) mengenakan pertuduhan terhadap bekas pengarah Kyaputen Sdn Bhd, Muhamad Fadzli Jamaludin atas tiga kesalahan berkaitan aktiviti pasaran modal tidak berlesen.
Suruhanjaya itu berkata Fadzli, 33, dikenakan pertuduhan di Mahkamah Sesyen Jenayah Kuala Lumpur pagi ini kerana mendakwa dirinya menjalankan perniagaan dalam pengurusan dana tanpa lesen.
“Ini merupakan kesalahan di bawah seksyen 58(1) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA) yang membawa hukuman denda maksimum sebanyak RM10 juta atau penjara tidak melebihi 10 tahun, atau kedua-duanya,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
SC berkata pengurusan dana merupakan aktiviti terkawal seperti yang ditetapkan dalam Jadual 2 CMSA dan individu yang menjalankan aktiviti ini perlu dilesenkan oleh suruhanjaya tersebut.
Menurut SC, kesalahan itu didakwa berlaku antara November 2018 dan April 2020 di Kuala Lumpur dan Melaka.
Fadzli mengaku tidak bersalah terhadap ketiga-tiga pertuduhan itu.
SC berkata Hakim Mahkamah Sesyen, Sabariah Othman membenarkan ikat jamin sebanyak RM80,000 dengan seorang penjamin bagi ketiga-tiga pertuduhan itu.
Selain itu, Fadzli juga diperintahkan untuk menyerahkan pasportnya kepada mahkamah dan melaporkan kepada SC setiap bulan sehingga selesai perbicaraan.
“SC menasihatkan pelabur supaya berhati-hati apabila mempertimbangkan peluang pelaburan.
“Senarai Makluman Pelabur SC sentiasa dikemas kini untuk membantu orang ramai mengenal pasti platform, syarikat atau individu yang tidak dibenarkan/tidak berlesen,” katanya. - DagangNews.com




