SC lancar inisiatif FIKRA ACE untuk pacu inovasi fintech Islam

Business & Finance
27 Jun 2023 • 5:29 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

SC lancar inisiatif FIKRA ACE untuk pacu inovasi fintech Islam

zulfadli

27/06/2023 - 17:29

KUALA LUMPUR 27 Jun - Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) melancarkan inisiatif fintech, FIKRA ACE dalam membangunkan ekosistem pasaran modal Islam (ICM) dengan memudahcarakan pembangunan fintech Islam melalui pendekatan berstruktur.

Pengerusi SC, Datuk Seri Dr Awang Adek Hussin berkata, inisiatif ini akan mengenal pasti syarikat dengan penyelesaian fintech untuk memupuk, mengembangkan dan berhubung dengan ekosistem ICM dalam pelbagai segmen.

Beliau berkata, inisiatif ini juga bertujuan untuk menyokong ruang fintech Islam dengan membina kapasiti dan saluran bakat untuk industri.

"Malaysia mempunyai keupayaan untuk mengekalkan ekosistem teknologi kewangan Islam yang berkembang maju dengan memanfaatkan kepimpinan globalnya dalam pasaran modal Islam.

"Ketika kita menyaksikan pertumbuhan dan inovasi yang luar biasa dalam fintech Islam, kita diingatkan tentang potensi yang dimilikinya untuk industri kewangan Islam dan ekonomi global yang lebih luas," katanya dalam kenyataan media di sini.

FIKRA ACE merupakan inisiatif tiga tahun yang dipertingkatkan berikutan pelancaran program pemacu teknologi kewangan Islam sulung SC – FIKRA, pada Mei 2021.

Bagi kohort 2023, tiga bidang tumpuan FIKRA ACE ialah kewangan sosial Islam, pelaburan mampan dan bertanggungjawab (SRI) patuh syariah dan pengurusan dana dan kekayaan Islam.

Melalui pendekatan pemacu tunggal, FIKRA ACE kini terdiri daripada tiga komponen, termasuk 'Accelerator' yang merupakan program pemacu bertumpukan penyelesaian Islam.

Kedua, 'Circle' yang merupakan platform rangkaian untuk menghubungkan pihak berkepentingan berkaitan pasaran modal Islam dan industri fintech dan 'Excel', platform kerjasama dengan institusi pengajian tinggi untuk pembinaan kapasiti.

Pada 2021, urus niaga fintech Islam di negara Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) berjumlah AS$79 bilion. Walaupun ini mewakili 0.8% daripada volum transaksi fintech global, segmen ini diunjurkan berkembang kepada AS$179 bilion menjelang 2026, iaitu pada kadar pertumbuhan tahunan terkompaun (CAGR) 17.9%.

.
FIKRA ACE dianjurkan dengan kerjasama Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) sebagai rakan kongsi ekosistem dan strategik. Program accelerator untuk kohort 2023 dijangka bermula pada Ogos 2023.

Syarikat dengan rumusan fintech yang inovatif dijemput untuk mengemukakan permohonan, yang dibuka sehingga 4 Ogos 2023.

Untuk maklumat lanjut mengenai komponen-komponen FIKRA ACE, sila layari https://www.sc.com.my/fikra-ace. Untuk pertanyaan, sila rujuk ke fikraace@seccom.com.my. - DagangNews.com