
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) mengumumkan pelantikan Kamarudin Hashim dan Datin Azalina Adham sebagai Pengarah Urusan baharunya, berkuat kuasa 1 Jan 2023.
Menurut SC, sebagai pengarah urusan, Kamarudin dan Azalina akan membantu pengerusi dalam menetapkan hala tuju strategik secara menyeluruh bagi pasaran modal Malaysia dan mentadbir dua mandat SC iaitu pembangunan dan pengawalseliaan pasaran modal.
“Selain itu, kedua-duanya akan kekal menyelia portfolio masing-masing dalam penyeliaan pasaran dan korporat serta strategi dan dasar,” katanya dalam kenyataan hari ini.
SC turut mengumumkan Timbalan Ketua Eksekutifnya Datuk Zainal Izlan Zainal Abidin akan meletakkan jawatan pada 11 Jan selepas berkhidmat selama 12 tahun bagi meneruskan kepentingan lain. Beliau memaklumkan perkara tersebut kepada Lembaga SC pada Oktober 2022.
Pengerusi SC Datuk Seri Awang Adek Hussin mengucapkan terima kasih kepada Zainal Izlan berikutan perkhidmatan cemerlangnya dan mengiktiraf sumbangan besar beliau kepada pembangunan pasaran modal.
“Zainal Izlan telah membantu menerajui pertumbuhan pasaran modal Islam dan agenda Pelaburan Mampan dan Bertanggungjawab (SRI) SC, sama ada di Malaysia mahupun di luar negara,” katanya dalam kenyataan sama.-Bernama

