SC, TERAJU tingkatkan akses PMKS serta syarikat pertengahan Bumiputera ke pasaran modal

15/10/2025 - 12:25
Datuk Mohammad Faiz Azmi (dua dari kiri) dan Junady Nawawi (tiga dari kiri) di majlis menandatangani MoU antara SC dan TERAJU hari ini Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN
KUALA LUMPUR 15 Okt – Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan Teraju Bumiputera Corporation (TERAJU) menjalinkan kerjasama strategik bagi memperkukuh akses perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta syarikat pertengahan (MTC) Bumiputera kepada pembiayaan pasaran modal.
Kerjasama tersebut dimeterai melalui Memorandum Persefahaman (MoU) selama dua tahun yang ditandatangani oleh Pengerusi SC, Datuk Mohammad Faiz Azmi dan Ketua Pegawai Eksekutif TERAJU, Junady Nawawi di ibu pejabat SC hari ini.
Langkah itu menyokong ‘Memangkin Akses PMKS dan MTC kepada Pasaran Modal: Pelan Hala Tuju 5 Tahun (2024-2028)’ SC yang menyasarkan kutipan dana berasaskan pasaran berjumlah RM40 bilion menjelang 2028.
Dalam satu kenyataan bersama, SC dan TERAJU berkata, inisiatif itu juga seiring aspirasi Rancangan Malaysia Ke-13 untuk memperbesarkan skala syarikat Bumiputera supaya mampu bersaing di peringkat serantau dan global.
Mohammad Faiz berkata, syarikat Bumiputera mempunyai potensi besar untuk berkembang dan pembiayaan pasaran modal boleh menjadi pemangkin penting dalam fasa pertumbuhan seterusnya.
“Melalui kerjasama dengan TERAJU ini, kami menyasarkan untuk membina lebih banyak syarikat sedia pelaburan yang lebih kukuh bagi mengumpul dana.
“Ini akan membantu mereka untuk mengembangkan operasi perniagaan dan bersaing di peringkat serantau,” katanya.
MoU ini turut merangkumi usaha membina saluran pembiayaan yang kukuh bagi syarikat Bumiputera berpotensi, meneroka peluang pelaburan bersama pelabur swasta serta menyokong pendedahan kemampanan melalui penggunaan Panduan Pendedahan ESG Ringkas SC dan program pembinaan kapasiti khusus.
Ia mencerminkan komitmen SC dan TERAJU dalam memperkukuh ekosistem pembiayaan negara serta membuka peluang lebih luas kepada syarikat Bumiputera untuk meningkatkan daya saing, memperkukuh operasi dan menarik pelaburan strategik bagi pengembangan operasi jangka panjang.
Sementara itu, Junady berkata, kerjasama tersebut membuka laluan baharu kepada syarikat Bumiputera untuk melangkaui pembiayaan tradisional.
“Dengan kerjasama ini, kami sedang menyediakan lebih banyak perusahaan Bumiputera untuk mengakses peluang pasaran modal dengan tadbir urus yang lebih kukuh, disiplin kewangan yang lebih baik serta keyakinan untuk bersaing di peringkat lebih tinggi,” katanya.
Antara fokus utama kerjasama ini ialah memperkukuh kesediaan syarikat untuk mengumpul dana melalui inisiatif pembinaan kapasiti yang disasarkan.
Ini termasuk penciptaan kohort Elevate–TERAJU di bawah program Elevate SC, yang diketuai oleh Capital Markets Malaysia (CMM), sebuah badan bersekutu SC.
Program Elevate merupakan program pembangunan kepimpinan eksekutif dan kesediaan pengumpulan dana yang membantu MTC dan PMKS memperkukuh strategi perniagaan, tadbir urus serta pengurusan kewangan agar memenuhi piawaian pelabur.
Sejak dilancarkan, lima kohort dengan 78 syarikat telah menyelesaikan program berkenaan.
Melalui inisiatif Elevate–TERAJU, sebanyak 20 syarikat Bumiputera daripada sektor pembuatan, penjagaan kesihatan, kejuruteraan dan teknologi telah dipilih menyertai kohort sulung sebagai langkah awal untuk menyertai pasaran modal tempatan. - DagangNews.com
standard

