Scammer jerat mangsa menjelang Aidilfitri

LocalSales & Promo
20 Mar 2026 • 8:10 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Penjenayah siber turut menggunakan taktik menghantar mesej menyamar sebagai pegawai bank, syarikat penghantaran atau platform e-dagang. - Gambar hiasan

MENJELANG sambutan Aidilfitri, masyarakat lazimnya mula sibuk membuat persiapan termasuk membeli pelbagai kelengkapan secara dalam talian.

Namun, dalam kegembiraan menyambut lebaran, terdapat scammer cuba mengambil kesempatan dengan menjalankan pelbagai taktik penipuan bagi memperdaya orang ramai.

Setiap tahun, pihak berkuasa merekodkan peningkatan jenayah komersial, khususnya penipuan dalam talian.

Berdasarkan trend semasa, antara modus operandi kerap dilaporkan ialah tawaran harga murah dipromosikan melalui media sosial sehingga menarik perhatian pengguna.

Namun, selepas bayaran dibuat, barangan dijanjikan tidak dihantar dan penjual pula menghilangkan diri.

Selain itu, terdapat juga kes penipuan membabitkan tawaran pinjaman wang segera atau bantuan kewangan menjelang musim perayaan.

Dalam keadaan terdesak mendapatkan wang tambahan bagi membuat persiapan raya, mangsa mudah terpedaya dengan iklan pinjaman tidak wujud yang menjanjikan kelulusan pantas tanpa syarat ketat.

Mangsa kemudiannya diminta membuat bayaran kononnya sebagai yuran pemprosesan sebelum pinjaman diluluskan. Hakikatnya, wang itu lesap tanpa sebarang pinjaman diberikan.

Penjenayah siber turut menggunakan taktik menghantar mesej menyamar sebagai pegawai bank, syarikat penghantaran atau platform e-dagang.

Biasanya, mesej itu mengandungi pautan kononnya untuk mengemas kini maklumat akaun atau menuntut bungkusan.

Sehubungan itu, orang ramai disarankan mengakses laman web rasmi secara terus melalui aplikasi atau pelayar internet tanpa menekan pautan yang diberikan.

Fenomena ini menunjukkan penjenayah semakin bijak mengeksploitasi faktor emosi dan tekanan kewangan yang dialami masyarakat ketika musim perayaan.

Sebelum ini, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, menasihatkan orang ramai supaya lebih berwaspada terhadap penipuan dalam talian menjelang Aidilfitri.

Katanya, tempoh berkenaan sering dimanfaatkan sindiket penipuan untuk memperdaya orang ramai melalui tawaran pelaburan tidak wujud, jualan murah tidak munasabah serta permintaan pinjaman wang melalui mesej yang menyamar sebagai kenalan.

Menurut beliau, pelbagai kandungan yang tersebar di media sosial seperti Facebook, TikTok dan aplikasi pesanan seperti WhatsApp tidak semestinya sahih dan perlu disemak dahulu sebelum sebarang tindakan diambil.

Dalam masa sama, Fahmi mengingatkan orang ramai agar segera menghubungi talian Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) di 997 sekiranya menjadi mangsa penipuan.

Menurut beliau, laporan yang dibuat dalam tempoh sejam selepas transaksi berpotensi membantu pihak berkaitan termasuk Bank Negara Malaysia menyekat aliran wang daripada dipindahkan ke akaun lain.

Selain kerugian kewangan, kes penipuan ini turut memberi kesan emosi kepada mangsa kebanyakannya berharap dapat menyambut Aidilfitri dengan lebih sempurna bersama keluarga.

Wang yang sepatutnya digunakan untuk membeli persiapan raya akhirnya hilang begitu sahaja.

Sehubungan itu, orang ramai diingatkan supaya sentiasa berhati‑hati ketika membuat transaksi, terutama secara dalam talian.

Aidilfitri sepatutnya diraikan dengan kegembiraan bersama keluarga, bukannya berakhir dengan kerugian akibat menjadi mangsa penipuan.

* Ahmad Ismadi Ismail ialah wartawan Meja Jenayah