
Kota Kinabalu: Sedco Communications Sdn Bhd (SComm), anak syarikat Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (Sedco), melaksanakan penjenamaan semula secara menyeluruh sebagai sebahagian daripada transformasi korporat dan visi baharunya bagi memperluaskan perniagaan.
Pengerusi Kumpulan Sedco, Datuk Masiung Banah, berkata penjenamaan semula itu bertujuan meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap keupayaan dan potensi SComm, selain memperkukuh daya saing serta sumbangannya kepada ekonomi negeri.
Beliau berkata, SComm tidak lagi hanya tertumpu kepada sektor telekomunikasi, sebaliknya akan mengembangkan perniagaan dalam bidang kecerdasan buatan (AI), infrastruktur pintar, teknologi hijau dan penyelesaian transformasi digital bagi memenuhi keperluan masyarakat.
“Ramai tidak mengetahui Sedco mempunyai anak syarikat yang memfokuskan telekomunikasi iaitu SComm kerana mereka lebih mengenali jenama lain seperti Sabah Net.
“Justeru, saya mengarahkan SComm menjalani penjenamaan semula secara menyeluruh supaya ia dikenali sebagai antara anak syarikat utama Sedco yang akan memainkan peranan lebih besar pada masa hadapan.
“Penjenamaan semula ini disokong oleh barisan pengurusan baharu serta visi, inisiatif dan matlamat baharu bagi memacu transformasi syarikat.
“Matlamat saya ialah melihat SComm muncul sebagai syarikat teknologi terkemuka di Sabah dan menyumbang secara signifikan kepada ekonomi negeri,” katanya.
Masiung berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan penjenamaan semula Transformasi Korporat dan Visi SComm di pejabat syarikat itu di KK Times Square, di sini, pada Jumaat.
Turut hadir Pengurus Besar Kumpulan Sedco, Datuk James Wong Kein Peng; Naib Pengerusi SComm, Ts Ismail Awang; Pengarah Eksekutif, Subha Maraiah dan Pengarah Antarabangsa, Datuk Seri Mossco Woo.
Masiung berkata, penjenamaan semula itu juga bertujuan meningkatkan keterlihatan SComm serta memperkenalkan perkhidmatannya kepada agensi kerajaan, sektor perniagaan dan masyarakat.
Beliau berkata, SComm akan terus meneroka teknologi baharu selaras dengan perkembangan industri sambil memastikan inovasi yang diperkenalkan dapat mengurangkan kos kepada pengguna.
“Teknologi berkembang dengan pantas dan semua pihak bersaing menawarkan penyelesaian yang lebih baik.
“Matlamat kita bukan sekadar memperkenalkan teknologi baharu, tetapi memastikan kos penggunaan perkhidmatan ini menjadi lebih mampu milik kepada rakyat,” katanya.
Sementara itu, Subha berkata antara inovasi terbaharu SComm ialah pembangunan sistem meter pintar yang menggabungkan sambungan gentian optik dengan teknologi kad SIM, sekali gus mengurangkan kos operasi berbanding sistem meter pintar tanpa wayar konvensional.
Beliau berkata, SComm sedang meletakkan semula kedudukannya bagi mengikuti perkembangan pesat teknologi, di samping mewujudkan sumber pendapatan baharu dan memperkukuh ekosistem digital Sabah.
“SComm turut menjalinkan kerjasama strategik dengan syarikat teknologi dari China bagi memudahkan pemindahan ilmu dan teknologi, bukannya bergantung sepenuhnya kepada kepakaran luar.
“Kami tidak meminta mereka datang untuk mengambil alih. Sebaliknya mereka berkongsi ilmu dan teknologi supaya rakyat kita dapat membangunkan kemahiran yang diperlukan.
“Ini mewujudkan nilai jangka panjang dan peluang pendapatan baharu untuk Sabah,” katanya.
Beliau berkata Cosmos, sebuah syarikat pemegang saham Scomm, telah pun memperoleh kontrak pertama daripada Sabah Electricity (SE) menerusi kerjasama dengan Celcom Timur Sabah bagi melaksanakan sistem meter pintar itu.
Menurutnya, berbeza dengan bacaan meter secara manual, sistem baharu itu membolehkan data penggunaan elektrik dihantar secara automatik ke platform pemantauan berpusat, sekali gus meningkatkan kecekapan operasi dan mengurangkan keperluan tenaga kerja.
Subha berkata, teknologi sama juga boleh digunakan bagi utiliti air untuk pemantauan dan pengumpulan data penggunaan air dari jauh.
“Kami sentiasa mencari produk inovatif yang dapat mengurangkan kos, meningkatkan kecekapan operasi serta mewujudkan peluang pendapatan baharu.
“Meter pintar ialah satu contoh dan teknologi sama boleh diaplikasikan dengan mudah dalam perkhidmatan bekalan air,” katanya.
Masiung berharap SComm akan terus berkembang dan kekal di barisan hadapan pembangunan teknologi menerusi pengenalan inovasi yang seiring dengan perkembangan industri.
Beliau berkata, Sedco dan SComm bukan sahaja komited membangunkan teknologi baharu untuk masyarakat, malah mahu memastikan inovasi itu membantu mengurangkan beban kewangan pengguna.
Dalam perkembangan berkaitan, Masiung menggesa semua ketua pegawai eksekutif anak syarikat Sedco bertindak lebih agresif dalam mempromosikan perniagaan masing-masing.
“Apabila anak syarikat Sedco berkembang dan menjana pendapatan lebih tinggi, mereka dapat membayar dividen yang lebih besar kepada Sedco, sekali gus meningkatkan sumbangan dividen kepada kerajaan negeri,” katanya.
