PETALING JAYA – Sunway Lagoon memperkenalkan pengalaman baharu Scream Park yang diperbaharui dengan menampilkan gabungan elemen cerita rakyat tempatan, hiburan sinematik dan penceritaan bertaraf antarabangsa bagi memperkukuhkan tarikan pelancongan berasaskan pengalaman di negara ini.
Tarikan ikonik yang mula diperkenalkan pada 2008 itu kini hadir dengan tiga pengalaman utama yang saling berkait, termasuk tarikan baharu bertemakan dunia fantasi The (Not-So) Wonderful Wizard of Oz yang menjadi fokus utama pembaharuan kali ini.
Pengurus Besar Pemasaran dan Pembangunan Perniagaan Sunway Theme Parks, Michelle Soong berkata, pengalaman baharu itu mencerminkan komitmen berterusan Sunway Lagoon dalam menawarkan produk pelancongan yang lebih bermakna, mendalam dan meninggalkan kenangan kepada pengunjung.
“Seiring perkembangan industri pelancongan, pengunjung sentiasa mencari pengalaman yang lebih imersif dan bermakna.
“Scream Park yang diperbaharui ini mencerminkan usaha kami untuk terus mengangkat Sunway Lagoon sebagai destinasi yang bukan sahaja menawarkan apa yang dilihat, tetapi juga apa yang dirasai oleh pengunjung ketika berada di sini,” katanya sempena pelancaran tarikan tersebut pada Rabu.
Antara tarikan baharu yang diperkenalkan ialah Hantutu’s Theater – Hantu Hunters, sebuah pengalaman sinematik eksklusif waktu siang yang mengetengahkan kisah-kisah mistik Malaysia dan Asia Tenggara menerusi teknologi kecerdasan buatan (AI).
Pengunjung bakal dibawa menyelami dunia makhluk legenda seperti pontianak, penanggal, pocong, toyol, langsuir dan hantu raya melalui gabungan aksi sebenar serta animasi.
**media[3540503]**
Selain itu, Horrorwood Studios Wax Museum of Monsters turut diberi nafas baharu menerusi persekitaran yang lebih imersif dengan inspirasi daripada filem-filem seram klasik dan kisah raksasa terkenal dunia.
Tarikan utama, The (Not-So) Wonderful Wizard of Oz pula menawarkan pengalaman berjalan kaki berskala besar yang membawa pengunjung merentasi lokasi ikonik seperti rumah ladang di Kansas, laluan jalan bata kuning di Munchkinland, Emerald City, Scary Forest serta wilayah Wicked Witch sebelum berakhir di Istana Glinda.
Menariknya, produksi tersebut turut menampilkan bakat tempatan termasuk pelakon Siti Khadijah sebagai Dorothy dan Nadia Brian sebagai Glinda.
Sementara itu, Pengerusi dan Pengarah Kreatif Global The Sudden Impact! Entertainment Company, Lynton V Harris berkata, konsep baharu Scream Park dibangunkan bagi membawa pengunjung menjadi sebahagian daripada penceritaan, bukan sekadar pemerhati.
“Daripada cerita rakyat serantau hinggalah kepada naratif yang dikenali di seluruh dunia, pengalaman ini direka sebagai sebuah perjalanan imaginasi, penemuan dan transformasi dalam persekitaran yang sepenuhnya imersif,” katanya.
Scream Park yang diperbaharui kini dibuka secara rasmi sebagai sebahagian daripada pengalaman taman tema siang Sunway Lagoon.
Tarikan tersebut beroperasi setiap hari dari jam 10 pagi hingga 6 petang dengan waktu rehat antara jam 1.15 tengah hari hingga 2.45 petang dan ditutup setiap Selasa kecuali pada cuti sekolah serta cuti umum.
Kemasukan ke Scream Park memerlukan tiket sah Sunway Lagoon Day Park atau pas tahunan Sunway Lagoon.
