SD Guthrie bakal raih laba besar hasil pembangunan pelabuhan mega di Pulau Carey - Maybank IB
herman
12/08/2024 - 10:45
KUALA LUMPUR 12 Ogos - Pembangunan pelabuhan di Pulau Carey bernilai berbilion ringgit sebagai pelabuhan ketiga selepas Westport dan Northport di Selangor bakal menjadi satu lagi projek kerajaan yang akan menjadi pemangkin kepada kepada SD Guthrie Berhad.
Maybank Investment Bank (Maybank IB) berkata, ini selepas dua projek kerajaan yang kini dalam pelaksanaan iaitu Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS SEZ) dan Taman Perindustrian Hijau Bersepadu Kerian (KIGIP).
Menurut firma penyelidikan itu, selain pelabuhan, Pulau Carey juga bakal dibangunkan sebagai sebuah bandar pelabuhan dan ini bakal memberi manfaat kepada SD Guthrie yang memiliki 85 % keluasan tanah pulau itu - bersamaan 11,000 hektar.
"Pulau Carey semakin terhubung dengan siapnya Lebuh Raya Lembah Klang Selatan (SKVE) pada tahun 2013, dan akan menerima dorongan tambahan apabila bahagian selatan Lebub Raya Pantai Barat (WCE) siap dalam 1-2 tahun.
"Tanah estet yang besar di Kuala Langat, Selangor telah dijual antara RM6.60 hingga RM19 setiap kaki persegi dalam tahun-tahun kebelakangan ini.
"Kami percaya tanah SD Guthrie di Pulau Carey yang berkeluasan 11,000 hektar itu boleh bernilai RM6 setiap kaki persegi atau RM7.1 billion," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Kata firma penyelidikan itu, pembangunan bandar pelabuhan dijangka memberi manfaat kepada SD Guthrie dalam jangka masa panjang.
Jelasnya, pelabuhan itu sendiri hanya akan mengambil sebahagian kecil daripada tanah Pulau Carey memandangkan pelabuhan akan dibina kebanyakannya di atas tanah tambak yang menghadap Selat Melaka.
"Walau bagaimanapun, selain daripada pembangunan pelabuhan, PKNS juga merancang untuk membangunkan Pulau Carey menjadi sebuah bandar pelabuhan. Menurut PKNS, tiada bandar pelabuhan di Westport atau Northport kerana ia tidak dirancang dari awal.
"Kami percaya pembangunan bandar pelabuhan yang dicadangkan di Pulau Carey akan memerlukan tanah dan akan meningkatkan nilai tanah SD Guthrie dari semasa ke semasa," ujarnya.
Sementara itu, Maybank IB mengekalkan ramalan keuntungan SD Guthrie kerana penjanaan keuntungan tanah Pulau Carey hanya akan berlaku dari semasa ke semasa.
"Kami kekalkan saranan 'Beli' dan harga sasaran (TP) sebanyak RM4.96 pada 0.55x RNAV," jelasnya.
Menurut Maybank IB, pembangunan pelabuhan bernilai berbilion ringgit ini mungkin akan bermula tidak lama lagi, jika sasaran untuk menyiapkannya menjelang 2030 tetap diteruskan.
Katanya, projek ini dirancang sebagai pelabuhan kontena mega, dengan kapasiti throughput kontena sebanyak 30 juta unit bersamaan 20 kaki (TEU) setahun dan dibahagikan kepada 4 fasa dan dijangka siap menjelang 2060.
"Setelah siap, pelabuhan ini akan mempunyai panjang dermaga keseluruhan kira-kira 16 km, lebih panjang daripada panjang dermaga keseluruhan Westports sepanjang 11 km," katanya. - DagangNews.com


