SDAC-Ford terus perkukuh komitmen perkasa Orang Asli melalui Yayasan Keamanan Global Malaysia
zulfadli
18/03/2024 - 15:26
KUALA LUMPUR 18 Mac - Sime Darby Auto ConneXion (SDAC), pengedar tunggal kenderaan Ford di negara ini mengukuhkan lagi komitmen syarikat untuk memperkasa masyarakat Orang Asli melalui kerjasama kali kedua dengan Yayasan Keamanan Global (Global Peace Foundation) Malaysia.
SDAC berkata, usaha bersama itu memberi tumpuan terhadap menyokong program OA-Eco Farm oleh GPF di empat perkampungan Orang Asli di Kuala Rompin, Pahang.
Katanya, program OA-Eco Farm merupakan usaha penanaman makanan yang bertujuan untuk peningkatan sara diri serta meraih pendapatan mapan dalam kalangan keluarga Orang Asli. Ia menyediakan latihan praktikal, serta subsidi terhadap perkakas dan juga benih.
"Disokong sumbangan dana sebanyak AS$10,000 (RM45,745) daripada dana tabung Ford Motor Company yang merupakan sebuah badan kebajikan bagi Ford Motor Company, seramai 22 sukarelawan dari SDAC menyertai usaha berkenan bersama dengan pasukan GPF untuk melawat tiga perkampungan terlibat baru-baru ini.
"Turut dibawa bersama mereka ialah sumbangan benih, kelengkapan penanaman, peralatan dapur serta kesungguhan dan tenaga untuk turut membantu. Sukarelawan juga bekerja rapat dengan penduduk-penduduk di salah sebuah kampung untuk memasang kelengkapan panel solar.
"Mereka juga terlibat dalam kerja-kerja tanah, memotong rumput dan membangunkan batas sebelum proses pembenihan," katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.


Pengarah Urusan SDAC-Ford, Turse Zuhair berkata, Yayasan Keamanan Global mengambil langkah penting dalam memberdayakan komuniti Orang Asli. Misi mereka selari dengan komitmen SDAC ke arah pembangunan masyarakat dan warga korporat.
"Kami amat berbangga untuk meneruskan kerjasama bagi membawakan kesan yang lebih besar ke atas kehidupan komuniti Orang Asli," katanya.


Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Keamanan Global, Dr Teh Su Thye pula berkata, COVID-19 membawa bersama ancaman terhadap sekuriti makanan yang dihadapi oleh populasi Orang Asli.
"Penebangan hutan dan pencerobohan tanah memburukkan lagi keadaan mereka, sehingga mengakibatkan kesan pengurangan nutrisi terhadap anak-anak mereka. Sekuriti makanan sangat penting untuk membangunkan daya tahan mereka," katanya. - DagangNews.com


