SEA1 Offshore dari Norway lepaskan pegangan besar dikuasai sejak 2015 dalam Propel Global

LocalBusiness & Finance
16 Oct 2026 • 9:50 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

SEA1 Offshore dari Norway lepaskan pegangan besar dikuasai sejak 2015 dalam Propel Global Image from: SEA1 Offshore dari Norway lepaskan pegangan besar dikuasai sejak 2015 dalam Propel Global amree16/10/2026 - 09:50 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 16 Okt — SEA1 Offshore Rederi AS dari Norway tidak lagi menjadi pemegang saham besar Propel Global Berhad selepas melupuskan 49.23 juta saham dalam kumpulan perkhidmatan minyak dan gas (O&G) itu pada 13 Oktober 2026.

 

Menurut makluman kumpulan berkenaan kepada Bursa Malaysia, langkah pelupusan tersebut dilaksanakan syarikat itu menerusi transaksi perniagaan secara langsung, namun harga jualan dan identiti pembeli saham tidak pula didedahkan.

 

Berdasarkan harga penutupan saham iaitu enam sen pada 13 Oktober 2026, transaksi itu dianggarkan bernilai RM2.95 juta, namun nilai tersebut merupakan anggaran berdasarkan harga pasaran dan bukan harga transaksi yang disahkan rasmi.

 

"SEA1 Offshore Rederi, anak syarikat SEA1 Offshore Inc, menjadi pemegang saham besar sejak 2015, ketika kumpulan itu dikenali sebagai Daya Materials Berhad. Propel Global mengambil alih status penyenaraian Daya Materials pada 2022," katanya.

 

Menurut laporan tahunan terkini Propel Global, SEA1 Offshore sebelum ini memegang sebanyak 75.533 juta saham atau kira-kira 9.10% kepentingan dalam kumpulan berkenaan.

 

Sementara itu dalam perkembangan berkaitan, beberapa pemegang saham lain dan seorang pengarah kumpulan meningkatkan pegangan masing-masing pada 13 Oktober 2026, berdasarkan pemakluman berasingan kepada Bursa Malaysia.

 

Propel Global_DagangNews2026

 

Datuk Low Keng Siong, yang juga Pengarah Eksekutif Thriven Global Berhad, memperoleh 20 juta saham, menjadikan jumlah kepentingannya sebanyak 166.75 juta saham, terdiri daripada 51.5 juta saham langsung dan 115.25 juta saham tidak langsung.

 

Dalam pada itu, Pengarah Propel Global, Rewi Hamid Bugo pula membeli sebanyak 13.17 juta saham pada harga 3.8 sen sesaham, meningkatkan pegangan langsungnya kepada 58.91 juta saham atau kira-kira 6.8%.

 

Irene Tan Ai Lin turut memperoleh 4.3 juta saham, menjadikan jumlah kepentingannya 74.3 juta saham, manakala Kong Teck Fong membeli 1.76 juta saham untuk meningkatkan jumlah pegangan kepada 188.43 juta saham.

 

Perkembangan perubahan pemilikan itu berlaku ketika Propel Global mendapatkan kelulusan pemegang saham untuk mempelbagaikan perniagaan kepada pembangunan hartanah, susulan pelancaran projek komersial sulung di Kuantan, Pahang pada Jun 2026.

 

Pada 14 Oktober 2026, kumpulan itu memaklumkan bahawa segmen hartanah dijangka menyumbang lebih 25% kepada keuntungan bersih pada masa hadapan, ketika ia berusaha menangani kerugian yang semakin melebar dalam segmen teras O&G.

 

Bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2026, kerugian bersih kumpulan melebar kepada RM27.2 juta, manakala hasil merosot hampir 28% kepada RM80.4 juta.

 

Saham Propel Global ditutup tidak berubah kepada enam sen pada 15 Oktober, memberikan kumpulan itu permodalan pasaran sebanyak RM52 juta. - DagangNews.com

Terkini standard
View Original Article
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved