Seal Inc labur RM15 juta dalam dua firma Perak bagi menceburi perniagaan tenaga boleh diperbaharui

Business & Finance
7 Sep 2023 • 9:30 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Seal Inc labur RM15 juta dalam dua firma Perak bagi menceburi perniagaan tenaga boleh diperbaharui

diyana

07/09/2023 - 09:30

KUALA LUMPUR 7 Sept - Seal Incorporated Bhd melanggan saham bernilai RM15 juta dalam dua syarikat berpangkalan di Perak sebagai usaha mempelbagaikan kegiatan perniagaan tenaga boleh diperbaharui (RE).

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, pemaju hartanah itu berkata ia melanggan 387,500 saham keutamaan boleh tukar boleh tebus baharu bernilai RM5 juta dalam Hutan Melintang Power Plant Sdn Bhd (HMPP).

Kumpulan itu juga melanggan 222,234 saham keutamaan boleh tukar boleh tebus dalam Ikhtiar Gawa Sdn Bhd (IGSB) yang berharga RM5 juta dan lima juta lagi saham keutamaan boleh tebus dalam syarikat berkenaan sebanyak RM5 juta.

Pemegang saham tunggal HMPP ialah Tan Tang Seong, yang juga merupakan pemegang saham IGSB, bersama Tan Shun Yu.

HMPP terlibat terutamanya dalam reka bentuk, pembinaan, pengendalian dan penyelenggaraan loji janakuasa biojisim yang menggunakan tandan buah kelapa sawit kosong sebagai bahan mentah utama.

Syarikat itu telah memperoleh dua kelulusan galakan tarif daripada Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (Seda) untuk membina dan mengendali dua loji janakuasa biojisim yang terletak di Teluk Intan dengan kapasiti penjanaan kuasa bersih masing-masing 2 megawatt (MW) dan 8MW.

Sementara itu, IGSB adalah pengendali kilang kelapa sawit, yang kini dalam pembinaan dengan kapasiti terpasang untuk memproses 60 tan tandan buah segar kelapa sawit sejam.

Kilang kelapa sawit itu disepadukan dengan loji kuasa biojisim yang dimiliki oleh HMPP dan IGSB akan menjadi pembekal utama yang membekalkan tandan buah kosong kepada HMPP sebagai bahan mentah untuk loji kuasa biojisimnya.

Seal Inc berkata pelaburan yang dicadangkan itu memberi peluang kepada kumpulan itu untuk mempelbagaikan perniagaan sedia ada ke dalam RE dan sejajar dengan usaha kerajaan untuk menyahkarbon sektor tenaga.

Tambahnya, langkah berkenaan membolehkan kumpulan itu menjana hasil dan keuntungan yang lebih konsisten.

Saham Seal Inc mencecah paras tertinggi 60 sen pada 17 Ogos — tertinggi sejak 31 Jan 2016, apabila harga saham ialah 61 sen. Pada Rabu, kaunter ditutup pada 56.5 sen, dengan nilai pasaran RM214.49 juta.

Saham Seal Inc dibuka tidak berubah pada 56.5 sen hari ini, memberikannya permodalan pasaran berjumlah RM214.5 juta. Setakat tahun ini, saham kumpulan itu telah melonjak 135% daripada 24 sen. - DagangNews.com