
PEMAIN gitar adik-beradik terkenal dari kumpulan Search, Din dan Kid tidak kisah apabila tarikh konsert mereka di Kota Kinabalu jatuh pada bulan yang sama dengan satu lagi pecahan Search.
Kid berkata, fokus mereka sekarang hanya tertumpu kepada perjalanan kumpulan itu dan siri-siri konsert yang sudah pun dirancang.
“Kami tidak mahu komen sangat mengenai pihak yang satu lagi kerana kami mahu lebih fokus dengan apa yang sudah pun kami rancang.
“Biarlah mereka mahu buat selang seminggu atau sehari sekali pun tak mengapa,” katanya kepada pemberita dalam sidang media sempena Konsert Search Rockin’ Borneo di Kota Kinabalu, baru-baru ini.
Din dan Kid bakal mengadakan konsert Search Rockin’ Borneo di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) pada 9 Disember ini manakala Search yang dianggotai Amy, Hillary Ang, Man Kidal dan Nasir pula akan membuat persembahan pada Borneo Rock Festival 2023 di Stadium Likas pada 30 Disember.
Mengenai konsert Search Rockin’ Borneo itu, Kid berkata pemilihan Sabah dan Sarawak sudah lama dirancang sejak Konsert Search Rockin’ On Rooftop di Kompleks Campbell pada pertengahan tahun ini.
“Ada juga promoter lain yang mahu bawa kami ke sini, juga pada bulan yang sama, tetapi memandangkan jarak masa terlalu dekat dengan konsert terdahulu, jadi kami pilih yang ini.
KID (kiri) dan Din ketika menjawab pertanyaan media selepas sesi bertemu peminat.
“Kami juga sudah lama ingin menghiburkan peminat-peminat kami di Borneo khususnya Sabah. Setiap kali kami datang ke sini, peminat di Sabah tidak pernah menghampakan,” katanya.
Untuk peminat di negeri ini, Din berkata Search yang turut dibarisi Denden Gonjalez (vokal), Yan (bass), dan Min (dram) akan menampilkan persembahan yang lebih istimewa dan unik pada 9 Disember ini berbanding konsert-konsert terdahulu.
“Persembahan kali ini akan lebih ‘nakal’ sedikit berbanding sebelum ini. Lagu-lagu juga ada perbezaan kerana ia adalah berdasarkan permintaan peminat.
“Kalau diikutkan banyak sangat lagu yang mereka mahu kami nyanyikan dalam konsert itu nanti… boleh sampai dua hari,” katanya, sambil menambah, mereka dijangka membawakan antara 18 hingga 20 buah lagu dalam konsert berdurasi kira-kira dua jam itu.
Ditanya jika mereka ada perancangan untuk mengadakan konsert sehingga dua hari berturut-turut di Sabah, Kid menjawab, “Jika ada tawaran bersesuaian daripada penganjur kenapa pula tidak?”
Mengenai sasaran jumlah penonton untuk konsert di SICC itu, Kid berkata mereka tidak kisah mengenainya kerana misi utama Search adalah untuk menghiburkan peminat mereka.
“Saya secara peribadi tidak kisah sama ada ramai orang atau tidak… Janji saya dapat menghiburkan peminat kami.
“Biarlah yang datang 10,000 orang sekali pun, satu orang dapat menjiwai persembahan kami pun saya sudah bersyukur,” katanya.
Terdahulu, Din dan Kid turut bertemu dan menjawab beberapa pertanyaan daripada peminat mereka yang hadir pada sidang media konsert Search Rockin’ Borneo yang diadakan di Centre Point, Kota Kinabalu itu.
Melihat kehadiran ramai peminat mereka, Kid berkata mereka gembira dengan sokongan meriah yang ditunjukkan penyokong kumpulan itu.
“Ada juga beberapa soalan hebat yang ditanya oleh peminat di sini. Peminat kami di Sabah memang tidak pernah menghampakan.
“Lagi pun di Sabah, kita memang sudah tahu memang ada banyak rockers (peminat muzik rock). ‘Rockers never die’ di Sabah,” katanya.
Selepas Kota Kinabalu, konsert Search Rockin’ Borneo yang dianjurkan RAB International dan Yolo Asia, akan menjelajah ke Kuching dan Miri, masing-masing pada 20 dan 24 Januari 2024.
[email protected]
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.

![“Siapa yang ajar?” – [VIDEO] Vokalis Coldplay Ucap Tagline ‘Pinjam Seratus’ Ketika Konsert Di Jakarta](https://cdn.newswav.com/img/topic/entertainment.jpeg)
