'Sebab apa bunuh semua anak kami?'- 13 tahun berlalu, motif pembunuhan tiga beradik menghantui, ibu tetap menanti jawapan

LocalFamily & Parenting
5 Mar 2026 • 2:30 PM MYT
SinarPlus
SinarPlus

SinarPlus is a portal based on News, Current Affairs and Lifestyle content

image is not available

BAGI kebanyakan keluarga, Ramadan dan Syawal merupakan waktu yang paling dinanti. 

Rumah kembali meriah dengan persiapan berbuka, anak-anak teruja memilih baju raya dan dapur pula dipenuhi aroma hidangan istimewa. 

Namun berbeza bagi sepasang suami isteri ini, musim perayaan tidak lagi membawa keceriaan seperti dahulu. 

Setiap kali takbir Aidilfitri bergema, hati mereka seolah-olah kembali ke detik hitam yang meragut tiga anak kesayangan dalam satu tragedi pembunuhan yang menggemparkan negara lebih sedekad lalu.

Menurut Siti Aishah Ariffin, 53, kehilangan tersebut bukan sekadar kenangan pahit, tetapi luka yang masih terasa hingga hari ini. 

Walaupun masa berlalu, air mata seorang ibu tidak pernah benar-benar kering mengenangkan tiga permata hatinya yang pergi serentak. 

“Kalau diberikan peluang berjumpa lagi dengan dia, saya mahu tanya kenapa bunuh anak saya? 

"Sebab apa bunuh semua anak kami,” luahnya.

Menurut Siti Aishah, Ramadan dan Syawal kini menjadi waktu paling sukar buat dirinya dan suami, Rusdi Rani, 51. 

Dahulu, rumah mereka sentiasa meriah dengan gelak tawa tiga beradik yang begitu teruja setiap kali menjelang hari raya. 

Persiapan membeli baju baharu, kasut raya dan pelbagai keperluan lain menjadi rutin yang menghidupkan suasana keluarga kecil itu.

image is not available

“Setiap kali puasa dan raya, rasa rindu itu makin menebal. Dulu kami lima beranak meriah, sibuk cari baju dan kasut raya. 

"Sekarang tinggal berdua, rasa sunyi sangat,” kongsinya lagi. 

Kehilangan tiga anak iaitu anak sulung berusia 14 tahun, anak kedua 12 tahun dan anak bongsu yang ketika itu baharu berusia tiga tahun meninggalkan kekosongan dalam diri pasangan tersebut.

Memori tentang anak-anak masih segar dalam ingatan Siti Aishah. Katanya, mereka sangat gemar menikmati masakan ringkas yang dimasaknya di rumah. 

Sup panas dan singgang ikan antara hidangan kegemaran mereka, manakala rendang pula menjadi menu wajib setiap kali hari raya. 

“Kadang-kadang keletah mereka bertiga masih terbayang-bayang seolah-olah mereka masih ada,” katanya lagi.

Selepas tragedi tersebut, pasangan berkenaan mengambil keputusan meninggalkan Kedah dan berpindah ke Kampung Baru Tok Dor, Besut, Terengganu pada tahun 2015. 

Keputusan itu dibuat kerana mereka tidak lagi sanggup tinggal di rumah lama yang terlalu sarat dengan kenangan bersama anak-anak. 

Setiap sudut rumah, termasuk bilik tidur dan barang-barang milik mereka, seolah-olah menghidupkan kembali memori yang terlalu sukar untuk dilupakan.

Lebih menyakitkan bagi seorang ibu ialah apabila persoalan yang lama dipendam tidak pernah terjawab. 

image is not available

Sepanjang prosiding mahkamah yang berlangsung hampir dua tahun, Siti Aishah tidak pernah berpeluang bersemuka dengan tertuduh atau menerima permohonan maaf daripada keluarga individu berkenaan. 

Misteri di sebalik tragedi itu terus menghantui dirinya selama bertahun-tahun.

Namun persoalan yang ingin ditanya akhirnya terkubur apabila tertuduh dilaporkan meninggal dunia kira-kira tiga minggu lalu selepas mendapat pembebasan awal dari penjara. 

“Sepanjang prosiding, saya tak pernah jumpa tertuduh. Keluarga dia pun tak pernah datang minta maaf. 

"Selepas dia keluar penjara dan meninggal dunia baru-baru ini, barulah ibunya datang berjumpa saya untuk memohon maaf,” katanya seperti yang dilaporkan menerusi Sinar harian

Lebih mengejutkan, individu tersebut sebenarnya merupakan jiran mereka sendiri suatu ketika dahulu. Rumah keluarga tertuduh hanya terletak selang tiga buah rumah dari kediaman mereka di Kedah.

Kisah duka pasangan itu turut mendapat perhatian penganalisis jenayah terkenal, Kamal Affandi Hashim yang membawa mereka berbuka puasa di sebuah hotel sebagai tanda sokongan moral. 

Selain berkongsi kata-kata semangat, beliau turut menghulurkan sumbangan kelengkapan Aidilfitri dan wang tunai bagi membantu meringankan beban pasangan tersebut memandangkan Rusdi kini tidak dapat bekerja sejak tujuh bulan lalu akibat masalah saraf pada mata.

image is not available

“Kita kena bantu mereka bina semula kehidupan yang telah berkecai. Bayangkan, sejak 2013 sehingga sekarang, mereka tidak pernah berbuka di luar,” ujarnya.

Beliau menambah, keprihatinan terhadap insan yang diuji sebegini seharusnya berterusan dan bukan hanya ketika sesuatu tragedi menjadi perhatian umum.

“Kita mahu tunjukkan bahawa kita menangis bersama mereka setiap hari, bukan sekadar semasa kejadian sahaja. Itu hipokrit namanya. 

"Ini tugas kita sebagai rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama. Sakit tetap sakit, darah tetap darah,” ujarnya.

Pada 30 November 2013, negara digemparkan dengan penemuan mayat anak sulung pasangan tersebut, Noor Syafikah Nadia Abdullah, 14, di sebuah sawah terbiar di Kampung Alor Senibong, Kedah dalam keadaan menyayat hati. 

Kira-kira 24 jam kemudian, mayat dua lagi adiknya iaitu Nur Izzati Husna, 12, dan Puteri Nurul Akma, tiga tahun ditemukan di dalam terusan MADA di Kampung Padang Petani, Alor Semela.

Pada tahun 2015, Mahkamah Tinggi Alor Setar menjatuhkan hukuman penjara 18 tahun terhadap Mohd Firdaus Mohd Faridul yang ketika itu berusia 20 tahun selepas dia mengaku salah menyebabkan kematian mangsa di bawah Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan.

View Original Article