Menteri Ekonomi merangkap Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli, mengajak pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mempertimbangkan kerjaya sebagai akauntan bertauliah yang menawarkan masa depan stabil dan prospek kerjaya tinggi.
Dalam hantaran di Instagram semalam, Rafizi mengakui bahawa ramai pelajar membuat keputusan jurusan hanya berdasarkan minat. Namun, katanya, minat perlu diimbangi dengan realiti pasaran kerja.
“Sebab itu saya syorkan jadi akauntan bertauliah, macam saya!” katanya.
Beliau berkongsi bahawa walaupun latar belakang pendidikannya adalah dalam bidang sains tulen dan kejuruteraan elektrik dan elektronik, kerjayanya bermula sebagai auditor dan akauntan bertauliah selepas lulus peperiksaan profesional tanpa memiliki ijazah perakaunan.
Menurut Rafizi, kerjaya akauntan bertauliah tidak memerlukan latar belakang akademik dalam bidang tersebut. Sebaliknya, pelajar hanya perlu lulus peperiksaan badan profesional seperti ICAEW atau ACCA, yang lebih diutamakan dalam industri perakaunan dan kewangan.
Sehubungan itu, Yayasan Peneraju, agensi di bawah Kementerian Ekonomi, kini menyasarkan untuk melahirkan lebih ramai profesional Bumiputera dalam bidang ini. Bermula 2025, jumlah pengambilan pelajar lepasan SPM akan digandakan daripada 500 kepada 1,500 orang setahun.
Pelajar yang terpilih akan menerima pembiayaan dan mengikuti program di institusi seperti Sunway University, INTEC Shah Alam, Tymba dan kolej profesional lain. Jika berjaya menamatkan peperiksaan tanpa gagal, mereka boleh mula bekerja sebagai akauntan bertauliah seawal usia 21 tahun.
Permohonan boleh dibuat menerusi laman web rasmi peneraju.org, dan sesi taklimat serta temuduga akan diadakan di lokasi terpilih bermula 27 April ini.
The post ‘Sebab itu saya syorkan jadi akauntan bertauliah, macam saya!’ – Rafizi ajak lepasan SPM fikir masa depan appeared first on The Reporter.



