
ADA suara yang belum terungkap, tapi kasih seorang ayah tetap bergema tanpa henti.
Itulah realiti yang dilalui penyanyi Azmi Saat apabila anak tunggalnya, Khalisa Insyirah, yang kini berusia dua tahun setengah masih belum mampu bercakap meskipun sudah setahun menjalani terapi.
Bukan tiada usaha, malah Khalisa kini sedang mengikuti program intervensi awal sejak dua bulan lalu dan sudah menunjukkan sedikit perkembangan.
"Anak saya boleh dikategorikan sebagai 'speech delay' atau mungkin lebih sedikit daripada itu, cuma belumk didiagnos sepenuhnya.
"Kami ada hantar terapi cara kerja sejak setahun yang lalu yang mana rawatan terapi seminggu sekali," kongsi Azmi mengenai perkembangan anak perempuannya.
Namun, seperti yang dijelaskan Azmi, proses itu bukan sesuatu yang boleh dipaksa.
“Baru dua bulan lepas kami hantar dia ke intervensi awal, ada nampak perkembangan cuma bercakap itu belum lagi. Dia masih baru nak meniru pergerakan,” kongsinya.
Menurut Azmi atau nama sebenarnya, Khairul Azmi Muhammad Saat, guru yang mengendalikan program tersebut memaklumkan, proses pertuturan memerlukan masa kerana anak kecil perlu melalui fasa meniru bunyi terlebih dahulu sebelum mampu bercakap.
“Cikgu dia kata kalau nak bercakap, awalnya dia kena tiru bunyi dulu, contohnya kalau bunyi monyet dan sebagainya dia akan tiru, tetapi dia belum sampai ke tahap itu lagi,” jelasnya.
Azmi berkongsi perkara tersebut bersama SinarPlus, ketika ditemui pada majlis Sesi Santai Media bagi memperdengarkan lagu solo terbaharunya berjudul Satu di Redbox Karaoke The Gardens, baru-baru ini.
Lebih menyentuh hati, Khalisa juga masih belum memahami arahan sepenuhnya walaupun sudah memasuki usia dua tahun setengah.
Namun sebagai seorang ayah, Azmi tetap melihat sisi kecil yang memberi harapan.
“Sepatutnya dalam usia sekarang, dia sudah boleh bercakap, namun belum boleh lagi berbuat demikian. Begitu juga kalau diminta ambilkan sesuatu, dia tak faham arahan.
"Cuma ada perkembangan lain, kalau saya panggil atau ajak ke mana-mana, dia faham dan ikut,” katanya, ringkas tetapi cukup bermakna.

Ibu bapa OKU penglihatan
Dalam diam, cabaran sebenar bukan hanya pada perkembangan anak, tetapi juga kekangan yang dihadapi mereka sebagai ibu bapa yang dikategorikan OKU penglihatan.
Situasi itu menghadkan banyak perkara asas yang kebiasaannya diajar di rumah.
“Mungkin juga sebab saya dan isteri bekerja, ada masanya isteri ada, saya pula keluar bekerja atau ke studio dan sebagainya.
"Lagipun dekat rumah kami tak boleh nak buat latihan kepada Khalisa memandangkan sebagai ibu bapa yang tak nampak, agak terhad untuk mengajar dia.
"Bila ada kawan saya datang ke rumah dan minta anak saya ambil sesuatu, dia akan ikut arahan tersebut, saya dan isteri tidak mampu nak ajar sedemikian.
“Banyak perkara lain juga agak terhad seperti kenal warna atau gambar kami tak dapat ajar, sebab itu kami hantar ke sekolah,” ujarnya jujur.
Ditambah pula dengan kos pembelajaran yang tinggi, Azmi dan isteri hanya mampu menghantar Khalisa ke kelas sebanyak tiga kali seminggu, dengan tempoh tiga jam setiap sesi.

Walaupun terbatas, usaha itu tetap dilakukan demi memastikan anak mereka mendapat peluang terbaik.
"Insya-ALLAH kalau ada rezeki kami akan hantar Khalisa untuk belajar sepenuhnya.
Sekadar makluman, Azmi mendirikan rumah tangga bersama Nazira pada 2011 dan dikurniakan seorang anak lelaki, Allahyarham Khairul Afnan yang meninggal dunia pada 30 September 2021 akibat kegagalan fungsi otak.
Pada November 2023, pasangan tersebut kemudiannya menimang cahaya mata perempuan yang diberi nama Khalisa Insyirah.




