“Sebak Baca Surat Hamba Allah…” – Jumpa Luahan Hati Ketika Kira Duit Masjid, Ramai Aminkan Doa Mohon Zuriat

LocalFamily & Parenting
18 Feb 2026 • 9:29 AM MYT
The Malaysian Update
The Malaysian Update

Portal berita pilihan anda untuk isu semasa, politik, hiburan, & banyak lagi

image is not available

KUALA LUMPUR – Kadang-kadang dalam timbunan wang sedekah, terselit satu helaian kertas yang lebih berat nilainya daripada angka yang dikira. Bukan kerana nilainya besar, tetapi kerana doa yang tertulis di atasnya membawa harapan yang mungkin sudah lama dipendam. Saat membacanya, hati yang keras pun boleh jadi sayu.

Menerusi satu hantaran yang dikongsikan semula di platform media sosial, seorang individu berkongsi detik menyentuh hati ketika sedang mengira wang sumbangan di sebuah masjid.

“Tengah kira duit di masjid, terjumpa surat dari seorg hamba Allah ni. Sebak pula bila baca.” tulisnya ringkas.

Surat tersebut dipercayai ditinggalkan oleh seorang individu yang memohon agar didoakan dikurniakan zuriat bersama pasangan tercinta. Perkongsian itu nyata mengundang rasa hiba dalam kalangan warganet yang memahami betapa beratnya ujian menanti kehadiran cahaya mata.

“Sama-sama kita doa dan aaminkan, semoga beliau pasangan suami isteri dikurniakan zuriat.” tambahnya lagi.

Sementara itu, menjengah ke akaun pemilik asal video iaitu @soifulannuar, dia turut menitipkan kapsyen ringkas namun penuh makna.

“Sama-sama kita doakan beliau dapat zuriat…amin,” tulisnya.

Netizen Turut Kongsi Pengalaman & Doa

Di ruangan komen, rata-rata netizen bukan sekadar mengaminkan doa, malah berkongsi pengalaman masing-masing sebagai tanda sokongan. Ada yang menceritakan bagaimana suatu ketika dahulu anak sulungnya mengalami masalah mata berair dan bernanah hampir tiga bulan. Dalam keadaan risau, dia terlihat satu hantaran memohon sedekah untuk anak yang sakit lalu turut bersedekah sambil meninggalkan pesan agar didoakan anaknya cepat sembuh. Tidak lama selepas itu, katanya, keadaan anak kembali sihat, membuatkan dia benar-benar merasai hikmah di sebalik sedekah dan doa.

Dalam masa sama, ada juga yang secara terbuka menumpang doa kerana masih belum dikurniakan zuriat. Luahan ringkas itu dibalas dengan doa yang baik daripada pemilik akaun agar Allah turut mengurniakan cahaya mata buatnya, menjadikan ruang komen itu seolah-olah medan saling mendoakan antara satu sama lain.

Seorang guru turut berkongsi bahawa dia sendiri pernah menunggu selama 10 tahun sebelum akhirnya dikurniakan zuriat. Pengalaman tersebut sedikit sebanyak memberi harapan kepada pasangan lain bahawa penantian yang panjang bukan bermakna doa tidak didengari.

Tidak ketinggalan, seorang lagi pengguna menceritakan bahawa dia dan isteri juga pernah melakukan amalan yang sama, bersedekah sambil menitipkan doa agar dikurniakan cahaya mata. Alhamdulillah, mereka akhirnya menerima rezeki tersebut dan tahun ini bakal menimang seorang lagi.

Perkongsian ini sekali lagi membuktikan bahawa doa dan sedekah menjadi antara amalan yang tidak pernah putus harapan buat mereka yang sedang diuji. Semoga setiap pasangan yang sedang menanti rezeki zuriat dikurniakan khabar gembira pada waktu yang paling indah menurut perancangan-Nya. Amin. – The Malaysian Update

The post “Sebak Baca Surat Hamba Allah…” – Jumpa Luahan Hati Ketika Kira Duit Masjid, Ramai Aminkan Doa Mohon Zuriat appeared first on The Malaysian Update.