Sebanyak 29 pengusaha makanan di T’ganu sediakan menu Rahmah

13 Feb 2023 • 3:36 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

KUALA TERENGGANU: Sebanyak 29 kedai makan dan restoran di Terengganu menyahut seruan kerajaan dengan menawarkan menu Rahmah di premis mereka.

Pengarah Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Terengganu Saharuddin Mohd Kia berkata jumlah itu menunjukkan perkembangan positif dan pihaknya sedang berusaha menarik lebih ramai pengusaha makanan menyertainya.

Beliau berkata 17 daripada premis makanan tersebut terletak di Kuala Terengganu; Kuala Nerus (tiga); masing-masing dua di Marang, Kemaman, Besut dan Dungun dan sebuah di Hulu Terengganu.

“Kita sedang menggerakkan promosi dan aktif dalam memberi penerangan supaya lebih ramai peniaga terlibat dengan inisiatif ini.

“Sebenarnya ramai peniaga yang berminat untuk turut sama dengan niat membantu masyarakat, tetapi mereka tidak tahu saluran yang betul dan menjadi tugas kita untuk bantu mereka,“ katanya pada sidang media pelaksanaan menu Rahmah di sini hari ini.

Saharuddin berkata ramai pengusaha makanan di Terengganu telah menawarkan harga di bawah RM5 mengikut kriteria menu Rahmah, tetapi dijenamakan mengikut nama kedai masing-masing.

“Kita akan bantu peniaga ini menjenamakan semula makanan mereka mengikut imej menu Rahmah. “Apabila aplikasi Menu Rahmah yang dibangunkan oleh kerajaan dilancarkan kelak, mereka akan turut mendapat manfaat kerana restoran atau kedai makan mereka akan lebih mudah dikenal pasti pelanggan setempat atau pelancong,“ katanya.

Dalam perkembangan lain, Saharuddin berkata sebanyak 156 kes melibatkan pelbagai kesalahan direkodkan KPDN Terengganu bagi tempoh 1 Jan hingga 9 Feb lepas.

Menurut beliau kes terbesar melibatkan kesalahan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 iaitu sebanyak 94 kes.

“Dalam tempoh itu, rampasan berjumlah RM83,000 juga telah dibuat dengan nilai kompaun sebanyak RM21,700,“ katanya. -Bernama